KEISHA kini dijaga JKM di Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram.
KEISHA kini dijaga JKM di Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram.
Mary Victoria Dass

Kulai: Kebanyakan bayi malang yang pernah diselamatkan selepas menjadi mangsa pengabaian waris masih memiliki masa depan cerah apabila menjadi rebutan untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Sebaliknya, kehidupan seorang bayi perempuan yang ditemui di belakang kediaman penduduk Taman Jaya Sepakat di Senai, di sini, dua bulan lalu menjadi tanda tanya berikutan dia disahkan mengalami kecacatan sebelah mata kiri.

Penderitaan yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat itu dipercayai berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab warisnya yang tergamak membuangnya di dalam longkang hingga mengakibatkan jangkitan kuman.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulai, Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, bayi perempuan berkenaan yang diselamatkan pada 31 Oktober tahun lalu kini berusia dua bulan 12 hari dinamakan Keisha Sofea.

Beliau berkata, ketika ditemui di dalam longkang, dia tiada sebarang dokumen kelahiran yang tinggalkan bersama-samanya.

Menurutnya, bayi berkenaan dirujuk ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai sebelum dihantar Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

“Dia yang mengalami jangkitan kuman dibenarkan keluar wad pada 10 Januari lalu.

“Kini bayi ini ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, Johor hingga perintah baru mahkamah dikeluarkan,” katanya.

Mohd Iskandar berkata, sehingga kini, tiada mana-mana waris bayi perempuan berkenaan tampil untuk menuntutnya atau berbincang mengenai masa depannya.

“JKM mendapat kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar oleh Majistret Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kulai pada 10 Januari lalu.

“Kami ingin mengesan waris bayi ini bagi siasatan bagi penyediaan laporan pelindung.

“Orang ramai yang mengenali waris kanak-kanak ini boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Kulai, Zunaizah Mohd Yusuf di talian 07-6622990,” katanya.

Bayi seberat 2.9 kilogram itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen kelahiran dan ditemui pada jam 4.30 petang dalam keadaan lemah dan agak kebiruan serta masih bertali pusat dan berdarah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:30 AM