BAYI perempuan yang berada di bawah jagaan JKM. FOTO ihsan JKM
BAYI perempuan yang berada di bawah jagaan JKM. FOTO ihsan JKM
Mary Victoria Dass


SEORANG lelaki menghilangkan diri selepas menyerahkan bayi perempuan yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan kepada jemaah surau di Kampung Sri Purnama, Johor Bahru, 13 Januari lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, kejadian berlaku sebelum solat Maghrib kira-kira jam 7 malam.

Menurutnya, seorang jemaah berusia 57 tahun mendakwa didatangi seorang lelaki bertubuh tinggi dan tegap bersama seorang wanita tidak pasti bangsa dengan menaiki motosikal.

Menurutnya, lelaki berkenaan bertindak menyerahkan bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan kerana masih bertali pusat selain dibedung kepada jemaah surau.

Katanya, difahamkan lelaki berkenaan mendakwa menjumpai bayi itu di sebuah warung berhampiran.

“Lelaki itu yang gagal mendedahkan identitinya meninggalkan surau berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak menyerahkan sebarang dokumen berkaitan bayi itu.

“Ia mengakibatkan jemaah surau tidak sempat bertanya maklumat lanjut berkaitan bayi itu,” katanya.

Normawarni berkata, JKM menerima maklumat berkaitan pengabaian bayi itu menerusi Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 15 Januari lalu.

Menurutnya, sepanjang bayi berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital, tiada sebarang tuntutan atau lawatan daripada waris.

Katanya, perintah jagaan sementara dikeluarkan mengikut Subseksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 oleh mahkamah pada 27 Januari lalu supaya bayi berkenaan ditempatkan di institusi JKM untuk sementara waktu.

“Kami berusaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan untuk penyediaan laporan pelindung sebelum dikemukakan kepada mahkamah.

“Buat sementara waktu, bayi berkenaan dinamakan sebagai Nelydia dan kami berharap waris bayi yang kini berusia 23 hari atau lebih tiga minggu menghubungi Pegawai Pelindung Kanak-Kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 6:47 PM