Gambar Ihsan JKM. Akil dipercayai ditinggal keluarga kandung berhampiran kedai sayur di Taman Ria, Bukit Batu Kulai pada 6 November lalu.
Gambar Ihsan JKM. Akil dipercayai ditinggal keluarga kandung berhampiran kedai sayur di Taman Ria, Bukit Batu Kulai pada 6 November lalu.
Mary Victoria Dass


Kulai: "Saya Akil." Itu kata-kata seorang kanak-kanak lelaki berusia antara empat hingga lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa pengabaian keluarga kandung yang ditemui pada 6 November lalu.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, Noraini Nor'azmi berkata, kanak-kanak terbabit ditemukan berhampiran kedai pemborong sayur di Jalan Ria 3, Taman Ria, Bukit Batu, Kulai, di sini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menemukan sebarang dokumen kelahiran atau pengenalan diri kanak-kanak itu di lokasi berkenaan.

Menurutnya, kanak-kanak itu juga ditemukan dalam keadaan baik termasuk berpakaian kemas dan memakai pelitup muka.

Katanya, pihaknya juga tidak mengesan sebarang kecederaan di tubuh kanak-kanak itu.

"Kanak-kanak itu kelihatan normal, tidak ketakutan atau menangis selain turut memiliki selera makan.

"Kami juga kurang pasti sama ada kanak-kanak itu adalah warga tempatan atau bukan.

"Pertuturannya kurang jelas namun dia didapati tidak mengalami ciri-ciri autisme. Dia dipercayai mengalami gejala lambat bertutur.

"Pada awalnya kami juga menjangka kanak-kanak itu adalah Rohingya namun dia langsung tidak memahami bahasa digunakan komuniti sebaliknya memahami bahasa Melayu," katanya.

Noraini berkata, kanak-kanak itu menggelar dirinya sebagai Akil namun gagal memberi sebarang maklumat berkaitan ibu bapa atau tempat tinggal.

"Pihak kami mendapat kebenaran di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar oleh Majistret Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kulai.

"Kanak-kanak berkenaan ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sehingga 13 November 2023 bagi tujuan pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak.

"Pihak kami ingin mengesan waris kepada kanak-kanak ini bagi tujuan siasatan pihak kami selain penyediaan laporan pelindung

"Orang ramai yang mengenali kanak-kanak ini boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Kulai di talian 07-6622990," katanya.

Noraini berkata, sehingga kini pihaknya juga dimaklum tiada sebarang laporan polis dilakukan berkaitan kehilangan kanak-kanak di sekitar kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 4:12 PM