MOHAMAD Izham (tengah) ditemani Noor Azam  menyampaikan sumbangan berupa produk keluaran Ayamas kepada Puziah pada program TKHM bersama Kedai Ayamas di Payasum, Sungai Udang. FOTO Azrul Edham
MOHAMAD Izham (tengah) ditemani Noor Azam menyampaikan sumbangan berupa produk keluaran Ayamas kepada Puziah pada program TKHM bersama Kedai Ayamas di Payasum, Sungai Udang. FOTO Azrul Edham
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Alhamdulillah rakyat Malaysia sangat pemurah dan kita setakat hari ini boleh teruskan operasi," kata pengurus Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin (Payasum), Puziah Md Taha.

Menurutnya, pihaknya berbesar hati kerana rumah kebajikan itu terpilih menerima bantuan menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas.

"Terima kasih kepada penganjur Harian Metro dan Kedai Ayamas atas bantuan diberikan.

"Syukur kerana kami terpilih menerima bantuan ini, saya lihat anak-anak juga gembira menerima makanan yang istimewa (nasi ayam panggang)," katanya ditemui pada program itu.

Hadir sama, Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas, Mohamad Izham Mohamad Haroun.

Menurut Puziah, rumah kebajikan itu menempatkan 77 penghuni berstatus anak yatim dan miskin iaitu 59 perempuan dan 18 lelaki berusia sembilan hingga 17 tahun.

Katanya, pihaknya menanggung sepenuhnya perbelanjaan persekolahan dan penginapan penghuni terbabit hasil dan sumbangan derma daripada syarikat korporat dan orang perseorangan selain bantuan kewangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Penghuni di sini terdiri daripada anak-anak yatim yang kematian ibu atau bapa dan anak keluarga miskin.

"Di sini mereka tinggal di asrama dan kita pastikan bersekolah. Jika tinggal di rumah mereka tidak bersekolah.

"Segala keperluan utama seperti makanan dan semua keperluan sekolah kita jaga dan beri percuma," katanya sambil menambah terdapat 19 kakitangan bertugas dan dibayar elaun.

Katanya, perbelanjaan rumah kebajikan itu mencecah kira-kira RM60,000 sebulan dan amat mengalu-alukan sumbangan bantuan kewangan daripada pihak yang prihatin.

"Apapun kami bersyukur kerana rakyat Malaysia ini pemurah dan kita setakat hari boleh teruskan operasi.

"Dalam menampung kos operasi kami juga mendapat bantuan RM11,600 sebulan daripada MAIM selain geran Makan dan Minum daripada JKM selain sumbangan korporat," katanya.

Sementara itu, pelajar, Muhammad Izuan Zulkepli, 17, berkata, dia dan rakan penghuni di Payasum terharu menerima sumbangan makanan dalam program TKHM.

"Syukur ada pihak prihatin datang bantu kami. Bila rasa makanan ini buat saya teringat kenangan bersama arwah ayah.

"Kali terakhir makan nasi ayam panggang Ayamas ini ketika saya sekolah darjah empat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 4:03 PM