PENEMPATAN haram dibina Israel di wilayah Palestin.
PENEMPATAN haram dibina Israel di wilayah Palestin.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Resolusi berhubung konflik Israel-Palestin (Resolusi 2334) yang diluluskan Jumaat lalu membuktikan Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berjaya memainkan peranannya untuk mengarahkan pihak berkaitan menjauhi tindakan keganasan, bertindak adil dan mengikut undang-undang.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Ramlan Ibrahim ketika berucap selepas majlis pengundian resolusi berkenaan berkata, kelulusan itu bukan hanya kemenangan kepada Palestin, malah terhadap UNSC, kedaulatan undang-undang, keamanan dan kemanusian secara keseluruhannya.

“Ia juga kemenangan kepada rakyat Israel yang masih percayakan keamanan dan keselamatan rakyat Palestin serta negara jiran Arab mereka.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, majlis perlu terus memberi tekanan kepada kedua-dua pihak untuk memastikan mereka mematuhi Resolusi 2334, malah Malaysia juga menyeru semua negara anggota untuk mematuhi peraturan dibawa resolusi itu berhubung menghentikan aktiviti penempatan haram di Israel,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada Jumaat lalu, UNSC meluluskan resolusi menggesa Israel menghentikan aktiviti pembinaan penempatan di kawasan jajahan Palestin dengan segera.

Semua ahli majlis menyokong resolusi itu kecuali Amerika Syarikat (AS) yang mengambil keputusan berkecuali daripada mengundi.

Resolusi itu diperkenalkan kepada Majlis Keselamatan PBB oleh New Zealand, Malaysia, Venezuela dan Senegal.

Ramlan berkata, walaupun langkah yang diambil majlis penting untuk menghentikan masalah penempatan haram, tetapi apa yang penting semua pihak perlu tahu ia hanya satu pendekatan mengenal pasti gejala, bukannya punca konflik.

“Dalam jangka masa panjang, majlis dan komuniti antarabangsa perlu menggembleng usaha untuk menamatkan (masalah) pendudukan paling lama di Palestin dalam sejarah moden.

“Justeru, kami menyeru semua pihak untuk menggandakan usaha untuk meneruskan proses damai untuk mencapai keamanan berkekalan, adil dan komprehensif di negara Asia Barat berdasarkan resolusi ini, serta pelbagai inisiatif lain termasuk Inisiatif Keamanan Arab,” katanya.

Menurutnya, Malaysia turut mengesahkan sokongan terhadap semua inisiatif diplomatik ke arah tujuan ini, termasuk yang dilaksanakan Perancis dan Russia.

“Walaupun Malaysia sudah mengakhiri tempoh dua tahun sebagai anggota tidak tetap di UNSC, tetapi kami akan terus memainkan peranan aktif untuk mewujudkan keadaan yang perlu untuk keamanan di rantau ini dan mempertahankan penyelesaian dua negara, sejajar dengan kedudukan prinsip kami terhadap ‘Palestinian Question’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:15 AM