MAJLIS Keselamatan PBB. FOTO fail AFP
MAJLIS Keselamatan PBB. FOTO fail AFP
Reuters

New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNSC bakal membuat undian mengenai desakan Algeria supaya majlis dengan 15 anggota itu menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang Israel-Hamas, esok.

Algeria mengemukakan draf resolusi awal, lebih dua minggu lalu.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke PBB Linda Thomas-Greenfield berkata, teks itu boleh menjejaskan rundingan sensitif yang bertujuan menghentikan perang secara sementara.

Katanya, untuk diterima pakai, resolusi UNSC memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto daripada AS, United Kingdom, Perancis, China atau Rusia.

"AS tidak menyokong tindakan ke atas draf resolusi ini.

"Sekiranya ia datang untuk undian seperti yang dirangka, ia tidak akan diterima pakai," kata dalam satu kenyataan.

AS secara tradisinya melindungi sekutunya Israel daripada tindakan di PBB dan sudah dua kali menggunakan kuasa vetonya untuk resolusi berhubung perang di Gaza yang dikemukakan di UNSC, sejak 7 Oktober tahun lalu.

Namun, ia juga berkecuali dua kali, membolehkan majlis itu menerima pakai resolusi yang bertujuan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menyeru supaya bantuan kemanusiaan segera dan gencatan berpanjangan dalam pertempuran.

Rundingan antara AS, Mesir, Israel dan Qatar sedang berjalan kerana mereka berusaha untuk menghentikan perang dan membebaskan tebusan yang ditahan Hamas.

"Penting bagi pihak lain memberikan proses ini peluang terbaik untuk berjaya, bukannya menolak langkah yang meletakkannya dan peluang untuk penyelesaian permusuhan berkekalan dalam bahaya," katanya.

Kemungkinan undian UNSC dibuat ketika Israel juga merancang menggempur Rafah di selatan Gaza yang menempatkan lebih sejuta rakyat Palestin berlindung.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Persidangan Keselamatan Munich pada 16 Februari lalu menyifatkan, situasi di Gaza, amat mengerikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 10:50 AM