Ahmad Shabery   bersama peserta Agroyouth pada perasmian penutup Pink Village di Nafas Agroyouth Camp.
Ahmad Shabery bersama peserta Agroyouth pada perasmian penutup Pink Village di Nafas Agroyouth Camp.

Serdang: MAHA 2016 yang berlangsung selama 11 hari bermula 1 Disember lalu di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) melabuhkan tirainya, semalam.

Pameran itu turut dianggap bersejarah apabila pengunjung yang datang ke MAHA 2016 mencecah hampir empat juta orang melebihi sasaran asal iaitu tiga juta orang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, antara kejayaan lain pameran berkenaan ialah jumlah jualan yang dikutip RM380 juta berbanding MAHA 2014 iaitu RM150 juta.

“Peningkatan jualan pada MAHA kali hampir 100 peratus dan ini satu pencapaian membanggakan kementerian selaku penganjur program.

“Satu lagi kejayaan yang kita capai ialah 40 peratus pembabitan orang muda dalam pameran berkenaan sama ada sebagai peserta kem atau usahawan tani,” katanya pada sidang media Penutup MAHA 2016 di Laman Tiba Satu, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara faktor kejayaan itu ialah tema Agrotainmen pada MAHA kali dengan mewujudkan Kampung Mok Cun, Kampung Durian Runtuh Upin&Ipin dan Festival Muzik, dapat menarik minat golongan sasar baharu berkenaan datang ke pameran terbabit.

Selain itu, katanya, pameran itu turut menjadi ‘medan pertempuran’ kepada usahawan kerana mereka perlu bersaing dengan usahawan lain untuk melariskan jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:05 AM