AHMAD Shabery bersama maskot Upin Ipin ketika pelepasan teksi MAHA 2016.
AHMAD Shabery bersama maskot Upin Ipin ketika pelepasan teksi MAHA 2016.
Mohamad Hussin


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sekali lagi akan menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016.

Bertemakan #OurFoodOurFuture, ia bakal menemui pengunjung selama 11 hari mulai 24 November hingga 4 Disember depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Majlis Prapelancaran MAHA 2016 disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, minggu lalu.

Hadir sama timbalan menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Nogeh Gumbek, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Pengerusi MAEPS Management Sdn Bhd Datuk Dr Mohamad Satim Diman.

Ahmad Shabery berkata, acara dwitahunan MAHA 2016 dianjurkan bersama Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2016.

Beliau berkata, sebagai tulang belakang kedaulatan dan sekuriti makanan sebuah negara, sektor pertanian kekal sebagai fokus utama untuk dipromosi di seluruh negara.

“Antara tumpuan utama MAHA 2016 ialah fokus yang lebih meluas terhadap pelancongan tani, perdagangan agro dan gaya hidup agro.

“Ia termasuk inovasi dan kemajuan teknologi terkini selain peningkatan 30 peratus pembabitan usahawan remaja melalui Agro Youth.

“MAHA 2016 dijangka menyediakan pelbagai saluran untuk perdagangan, pelaburan, kolaborasi serta pemindahan teknologi,” katanya dalam ucaptama perasmian pelancaran di Laman Florikultur, MAEPS, Serdang.

Menurutnya, ia juga berfungsi sebagai platform ideal bagi membangunkan pasaran import dan eksport, melancarkan produk serta servis baru dan inovatif sambil membentuk perikatan antarabangsa.

“MAHA kali ini akan mengamalkan pendekatan serampang lima mata merangkumi sekuriti dan kedaulatan makanan, rekreasi, pemerkayaan pengetahuan, pelancongan dan kesejahteraan.

“Penganjuran pada kali ini lebih meriah berikutan pembabitan 1,500 gerai pameran yang akan disertai agensi kerajaan, syarikat swasta dari dalam dan luar negara.

“Ekspo berkenaan diharapkan dapat menarik lebih 3.5 juta pengunjung dan 30 peratus daripada­nya generasi muda,” katanya yang turut mengumumkan pelantikan Upin & Ipin sebagai maskot rasmi MAHA 2016.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya menjangka nilai dagangan dan pemadanan perniagaan akan menjana pulangan jualan bernilai RM200 juta.

“Antara faktor lain yang menambah daya tarikan MAHA 2016 ialah tempoh acara yang dilanjutkan, peningkatan ruang pameran, bilangan gerai, kepelbagaian profil pempamer serta program yang disediakan.

“Tarikan lain ialah seminar perniagaan, bengkel, pembentangan, pelancaran produk, demonstrasi, peraduan teknologi, inovasi pertanian, agro bazar, aktiviti pelancongan tani, promosi produk tani, persembahan kebudayaan.

“Persembahan binatang peliharaan, pertandingan memancing, program kesejahteraan dan pelbagai lagi aktiviti yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata, antara tarikan terbaru MAHA 2016 ialah Kampung Durian Runtuh Upin & Ipin, Kampung Mak Cun, Festival Muzik Ritma Petani dan Tapak Perkhemahan untuk 5,000 remaja.

MAHA 2016 turut melantik lima rakan acara manakala Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) serta Rapid KL sebagai rakan pengangkutan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Tourism Malaysia pula rakan promosi manakala IOI Resort City sebagai rakan hotel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 12:34 PM