PENGUNJUNG yang hadir di Maha 2016 di MAEPS, Serdang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PENGUNJUNG yang hadir di Maha 2016 di MAEPS, Serdang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Hairulazim Mahmud


Serdang: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 mensasarkan tiga juta pengunjung sepanjang penganjurannya dari 1 hingga 11 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sehingga hari ini, 700,000 pengunjung sudah melawat pameran pertanian terbesar negara itu.

"MAHA kini sudah menjadi jenama yang semakin popular dalam kalangan masyarakat negara ini.

"Konsepnya sudah melalui evolusi sejak diasaskan sebagai produk agro pertanian negara," kata beliau ketika merasmikan MAHA 2016 di di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata, MAHA adalah komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian sebagai sektor strategik.

Beliau berkata, memandangkan aspek keselamatan makanan sekarang menjadi semakin penting maka kerajaan memberikan sepenuh tumpuan kepada sektor ini menjelang Transformasi Negara 2050 (TN50).

Bertemakan #OurFoodOurFuture, ekspo kali ini menampilkan pelbagai saluran untuk perdagangan, pelaburan, kolaborasi dan pemindahan teknologi.

Ia menjadi platform ideal bagi mengenali lebih banyak maklumat dan perkhidmatan baru dalam sektor pertanian.

Terdapat 1,500 gerai pameran daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta dari dalam serta luar negara di pameran itu.

MAHA 2016 juga adalah acara unggul untuk mengembangkan perniagaan secara strategik dan antara tarikan terbaru kali ini ialah Kampung Durian Runtuh Upin & Ipin, Kampung Mak Cun, Festival Muzik Ritma Petani dan Tapak Perkhemahan untuk 5,000 remaja sepanjang 11 hari ekspo berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 6:18 PM