Noorsaifulamir dan  Syamimi bersama   Muhammad Khalil  yang perlu menjalani  pembedahan jantung.
Noorsaifulamir dan Syamimi bersama Muhammad Khalil yang perlu menjalani pembedahan jantung.
FARIDAH dan  Mohd Syukri bersama Nurul Nasuha   yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak kecil.
FARIDAH dan Mohd Syukri bersama Nurul Nasuha yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak kecil.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Keluarga seorang bayi perempuan berusia 10 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memohon jasa baik orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan untuk menjalani pembedahan segera di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC) Pulau Pinang.

Nurul Nasuha Mohd Syukri menderita penyakit jantung dan memerlukan bantuan kewangan RM50,000 untuk membiayai kos pembedahan jantung dengan kadar segera selepas keadaan jantung mengalami masalah selain tekanan darah tinggi.

Bapanya, Mohd Syukri Abdullah, 44, seorang pekerja kilang dari Sungai Petani, Kedah berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu disahkan menghidap penyakit jantung sejak lahir.

Beliau berkata, anaknya dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 1 November lalu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati anaknya memerlukan rawatan lanjut sebelum diminta membuat pemeriksaan di GMC dan Nurul Nasuha diarahkan menjalani pembedahan segera.

“Saya hanya pekerja kilang dengan pendapatan sekitar RM1,552 sebulan manakala isteri, Faridah Ali, 39, hanya suri rumah dan kami mempunyai lima anak berusia antara 10 bulan hingga 15 tahun.

“Berbekalkan pendapatan kecil, saya tidak mampu untuk menyediakan jumlah kos pembedahan diperlukan dan mengharapkan bantuan kewangan itu akan mengubah kehidupannya menjadi bayi lebih sihat,” katanya ketika ditemui di GMC, semalam.

Sementara itu, bayi lelaki, Muhammad Khalil Noorsaifulamir, 12 bulan, turut memerlukan dana kewangan RM55,000 untuk menjalani pembedahan segera selepas saluran jantung dan Total Anomalous Pulmory Venous Drainage (TAPVD) mengalami masalah.

Bapanya, Noorsaifulamir Zamre, 25, yang bekerja sendiri manakala isteri, Syamimi Zamri, 23, seorang suri rumah sekadar memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan dan tidak mampu menyediakan kos pembedahan tinggi.

Menurutnya, anaknya disahkan mengalami masalah jantung berlubang selepas saluran jantung didapati mengalami masalah dan keadaan saluran jantung berkembang ketika usianya menjangkau 11 bulan.

Katanya, pada peringkat awal tiada sebarang masalah dihadapi, namun selepas itu keadaan berat badan tidak bertambah dan akhirnya terpaksa menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut di Hospital Bukit Mertajam (HBM) setiap bulan.

“Muhammad Khalil terpaksa berulang-alik dari Hospital Bukit Mertajam (HBM) ke Hospital Seberang Jaya setiap bulan dan akhirnya diminta untuk ke GMC untuk rawatan lanjut sebelum diberitahu perlu menjalani pembedahan segera.

“Kos pembedahan memang tinggi dan saya hanya mampu menyediakan kira-kira RM25,000 hasil bantuan daripada pihak keluarga dan rakan selain mengharapkan pembedahan akan dijalankan nanti itu berjaya dan Muhammad Khalil akan kembali aktif serta sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai boleh menderma dengan menghantar cek atau wang pos kepada Tabung Kemanusiaan NSTP-MEDIA PRIMA, Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Level 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak terbabit di belakang cek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:45 AM