Wan Kemat


SYARIKAT kontraktor yang terbabit dalam insiden kren tumbang di Kampung Baru, Kuala Lumpur, tengah hari semalam bakal berdepan tindakan tegas daripada Kementerian Sumber Manusia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan tindakan terhadap pemilik syarikat berkenaan boleh diambil mengikut Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994.

"Kalau mereka itu didapati gagal memastikan keselamatan pekerja dan orang awam ketika proses melaksanakan kerja, kita tidak boleh berkompromi.

"Ini kerana, kecuaian seperti itu boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

"Selain tindakan boleh diambil mengikut Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, kontraktor itu juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wang Ihsan Banjir Parlimen Maran di Dewan Arena Chenor, Maran, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Mohd Ariffin Awang Ismail.

Pada majlis itu, seramai 710 keluarga menerima bantuan sebanyak RM500 setiap keluarga bagi membantu meringankan bebanan mereka.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sudah memulakan siasatan semalam dan ia dijangka selesai dalam masa terdekat.

"Mereka sudah ambil sampel runtuhan dan kesan kerosakan akibat kejadian itu untuk diperiksa di makmal.

"Dokumen berkaitan dan keterangan saksi kejadian itu juga sudah diambil oleh pegawai kami (JKKP), nasihat saya kepada majikan atau kontraktor, jangan fikirkan keuntungan saja, pastikan aspek keselamatan dipatuhi bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Dalam kejadian tengahari semalam, sebuah kren di tapak pembinaan Legasi Kampung Baru tumbang menghempap sebuah kereta Persona serta mencederakan seorang pekerja dan dua orang awam.

Selain itu, dua kereta jenis Isuzu dan Mercedes turut mengalami kerosakan akibat terkena libasan kabel terputus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 9:35 PM