Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya kontraktor yang ingin membuat tawaran bagi mana-mana kontrak pembinaan diwajibkan menyediakan kenyataan dasar mengenai keselamatan pembinaan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kenyataan dasar itu juga harus mengandungi sistem mengenal pasti bahaya, penilaian dan kawalan risiko, serta maklumat mengenai pengalaman dan latihan keselamatan yang diberikan kepada pekerja.

“Walaupun kerajaan menggubal undang-undang dan menguatkuasakannya, tanggungjawab untuk melaksanakan sistem keselamatan di tapak pembinaan terletak di bahu kontraktor dan subkontraktor.

“Oleh tu, kontraktor atau subkontraktor hendaklah bertanggungjawab dan komited terhadap kerja yang berkualiti memenuhi standard dan amalan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Lee berkata demikian bagi mengulas insiden kren tumbang di Jalan Damansara, Kampung Bukit Lanjan, di sini, kelmarin.

Kren tumbang ketika kerja pembinaan tiang jejambat menghubungkan LDP dengan pusat komersial itu, menyebabkan seorang pekerja pembinaan warga China maut dan empat lagi cedera.

Justeru, katanya, kontraktor perlu sedar kesan buruk melanggar garis panduan keselamatan.

“Kemalangan dan kehilangan nyawa boleh dielakkan atau dikurangkan jika kita menjadikan amalan kerja berhemah dan berhati-hati sebagai sebahagian daripada budaya kita,” katanya.

Lee berkata, pembabitan setiap orang untuk membendung kemalangan adalah penting jika mahu membudayakan keselamatan di dalam sektor pembinaan yang secara umumnya dianggap sebagai industri yang berisiko tinggi.

“Pekerja asing adalah satu komponen modal insan penting dalam sektor pembinaan memandangkan kekurangan tenaga kerja tempatan di negara ini, mereka harus diberi latihan, kesedaran dan maklumat mengenai amalan keselamatan di tapak binaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 8:25 AM