Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Dua pekerja tapak projek pembinaan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, di sini, maut dihempap kren, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di tapak projek itu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku jam 3.45 petang, namun punca kejadian masih dalam siasatan.

“Lelaki tempatan berusia 24 tahun dan berasal dari Selangor maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi warga Pakistan berusia 22 tahun maut ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Seorang lagi warga Pakistan berusia 24 tahun pula dilaporkan cedera, namun keadaannya stabil,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor Ir Saiful Azhar Mohd Said ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun pihaknya masih menunggu maklumat lengkap hasil siasatan pihak JKKP berhubung insiden berkenaan.

“Kejadian membabitkan sebuah mounted truck crane dan overhead travelling crane.

“Dimaklumkan dua orang meninggal dunia dan seorang lagi masih di hospital. Kejadian masih dalam siasatan pihak JKKP,” katanya.

Video berdurasi 41 saat mengenai insiden itu dimuat naik menerusi Facebook (FB) Suara Anak Pengerang sebelum turut dikongsi di FB Orang Kota Tinggi dipercayai dirakam pekerja di tapak projek itu sejurus kejadian.

Berdasarkan maklumat dikongsi menerusi video itu, mangsa yang terbabit berada dalam lori sebelum dihempap kren berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:26 AM