AHMAD (tengah) menunjukkan jagung pada Program Penuaian Fasa 1 Bekalan 2.5 juta Tongkol Jagung oleh FAMA Negeri Sembilan.
AHMAD (tengah) menunjukkan jagung pada Program Penuaian Fasa 1 Bekalan 2.5 juta Tongkol Jagung oleh FAMA Negeri Sembilan.
Khairul Najib Asarulah Khan


Kuala Pilah: Sebanyak tiga juta tan jagung akan dijual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2016) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor bermula esok hingga 11 Disember ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, keseluruhan jagung itu akan dibawa dari empat negeri iaitu 2.5 juta dari Negeri Sembilan, Selangor (100,000), Kedah dan Terengganu masing-masing 200,000.

Katanya, jagung jenis Taiwan Super Sweet 316 itu dijual pada harga RM10 bagi setiap pek yang mempunyai 12 tongkol jagung.

“Di pasaran luar, jagung itu kebiasaannya dijual pada harga kira-kira RM20 mengikut saiz dan kuantiti yang sama.

“Jagung adalah antara tarikan ketika program itu selain durian belanda dengan bekalan 20 tan metrik,” katanya selepas Program Simbolik Penuaian 2.5 juta tongkol jagung di Kampung Parit Seberang, di sini, semalam.

Selain itu, Ahmad berkata, produk berasaskan jagung seperti air, jagung lerai, kelapa muda dan kuih bingka jagung turut dijual pada program itu.

“Kita sedar potensi permintaan terhadap produk tani itu semakin meningkat. Negeri Sembilan adalah pembekal jagung tertinggi di negara, setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:28 AM