FADIL (tiga dari kanan) dan Umi Kalsom (kanan) mendengar penerangan daripada Johairy.
FADIL (tiga dari kanan) dan Umi Kalsom (kanan) mendengar penerangan daripada Johairy.
JOHAIRY menunjukkan sarung jagung.
JOHAIRY menunjukkan sarung jagung.
JOHAIRY dan Mohd Raduan menunjukkan sarung jagung dan plak yang diterima.
JOHAIRY dan Mohd Raduan menunjukkan sarung jagung dan plak yang diterima.
Oleh Mohamad Hussin


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya mencipta alat penyarung tongkol buah jagung yang dapat mengawal serangan haiwan perosak.

Pembantu Penyelidik Kanan MARDI Saratok, Sarawak Johairy Abdullah berkata, inovasi berkenaan hasil ciptaannya bersama rakan sekerja Mohd Raduan Tahir yang dijalankan tahun lalu.

Beliau berkata, alat inovasi yang dibuat berteraskan konsep 3R iaitu guna semula, mengurangkan dan kitar semula dalam sektor pertanian yang dapat mengawal serangan tupai terhadap buah jagung yang ditanam.

“Hanya menggunakan bahan kitar semula yang dibuat dalam projek ini, buah jagung yang ditanam tidak dapat dimakan atau dirosakkan haiwan perosak kerana ia dikarung atau dibungkus.

“Ia menggunakan botol air mineral yang diubah secara kreatif dalam menyelesaikan masalah berkenaan dikenali sebagai sarung jagung.

“Adanya alat pembalut tongkol jagung ini, buah jagung selamat dari dirosakkan tupai tanpa mencacatkan kualiti hasil buah jagung berkenaan,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Malaysia Agricultural Invention Show 2015 di Serdang, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Datuk Fadil Osman.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MARDI Dr Umi Kalsom Abu Bakar dan Pengerusi Malaysia Agricultural Invention Show 2015 Dr Sariam Othman.

Menurutnya, inovasi itu dibangunkan bagi mengawal serangan tupai.

“Sarung jagung dibuat hanya menggunakan bahan kitar semula menggunakan botol air mineral 1.5 liter sebagai pembalut tongkol buah jagung ketika usia jagung sekitar 35 hingga 45 hari sebelum dituai.

“Pada masa sama buah jagung itu dapat menghasilkan biji lebih banyak. Botol air mineral hanya perlu dilubang dan dipotong di bahagian bawah.

“Hanya buah jagung yang difikir baik perlu dibalut dengan alat penyarung itu selain bergantung kepada pengusaha terbabit,” katanya.

Johairy berkata, sasaran inovasi itu ke arah peningkatan hasil tanaman jagung dengan penggunaan unsur bahan kitar semula dalam sektor pertanian yang menjimatkan kos dan tenaga kerja.

Mereka pernah memenangi naib johan Inovasi MARDI 2015 dengan reka cipta Kadar Serangan Haiwan Perosak (Tupai) di Ladang Jagung Tinggi di Kalangan Pengusaha dan Alat Penyarung Jagung, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:11 AM