ANTARA hasil jagung yang ditanam Azman.
ANTARA hasil jagung yang ditanam Azman.
Hidayatidayu Razali


Percubaan seorang lelaki berbudi kepada tanah dengan menanam jagung membuahkan hasil lumayan apabila mampu menjana pendapatan ribuan ringgit.

Malah menerusi tanaman itu, dia juga dapat membantu orang lain terutama tiga pekerjanya dalam menjana pendapatan bulanan.

Azman Che Hamad, 52, mengakui, dia sebelum itu bekerja sebagai penjual ikan, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu menyebabkan jualannya merosot selain tidak dapat meneruskan perniagaan.

"Disebabkan tidak ada pekerjaan, saya mengambil keputusan menjadi petani dan memajak tanah penduduk kampung seluas 1.2 hektar dengan bayaran RM600 setahun.

"Berbekalkan wang simpanan ketika menjual ikan, saya menggunakan modal itu untuk memajak tanah dan membeli anak benih. Pada awalnya saya menanam tembikai sebelum mencuba nasib dengan tanaman jagung.

"Tanaman jagung ini pertama kali saya usahakan kerana mahu mencuba nasib selepas melihat tanaman beberapa rakan hidup subur dan berjaya mendapat hasil yang banyak sekali gus memperoleh pendapatan yang lumayan," katanya ketika ditemui di ladang jagungnya di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Menurut Azman, dia mula menanam jagung mutiara itu lebih dua bulan lalu dan bersyukur kerana tanaman itu menjadi apabila lebih 1,000 pokok yang ditanam hampir semua mengeluarkan hasil.

JAGUNG berkualiti yang dihasilkan di kebunnya.
JAGUNG berkualiti yang dihasilkan di kebunnya.

Jelasnya, jagung mutiara itu mengambil masa antara 65 hingga 70 hari tempoh matang dan siap untuk dijual kepada pelanggan termasuk pemborong.

"Hasil yang matang itu kemudian dikutip dan dijual sendiri dengan harga RM10 untuk lapan hingga 10 tongkol bagi harga runcit.

"Tanaman di kebun saya juga mampu mengeluarkan hasil lebih daripada 100 kilogram (kg) dan masih banyak yang belum dikutip. Saya tidak menyangka kerana hasil tanaman ini sangat banyak dan mampu meraih jualan yang tinggi.

"Permintaan jagung ini juga agak tinggi kerana ia digunakan dalam pelbagai makanan seperti membuat kuih-muih dan air," katanya.

Jelasnya, dia membeli benih jagung di kedai dan memilih yang bermutu.

"Alhamdulillah, walaupun tanpa latar belakang dalam bidang ini, saya tetap berusaha termasuk menghadiri kursus pertanian selain mempelajarinya daripada rakan.

JAGUNG yang matang dijual sendiri oleh Azman.
JAGUNG yang matang dijual sendiri oleh Azman.

"Saya berhasrat memperluaskan tanaman itu pada masa akan datang dan mahu membantu lebih ramai orang menjana pendapatan.

"Malah saya bersyukur kerana tiga pekerja sangat membantu termasuk daripada proses penanaman sehingga mengutip hasil dan jualan kepada pelanggan.

"Pada peringkat awal sudah semestinya mempunyai cabaran tersendiri untuk berada di dalam bidang ini memandangkan saya tidak mempunyai pengalaman. Namun hasil tunjuk ajar rakan, kebun saya mampu mengeluarkan hasil jagung mutiara yang manis," katanya.

Sementara itu, Azman mengakui, tanaman jagung jenis itu mudah untuk dijaga kerana perkara paling penting ialah memastikan ia mendapat air yang secukupnya selain baja.

Kata Azman, dia menyiram pokok jagung ini dua kali sehari jika tidak hujan dan menggunakan sistem siraman secara automatik supaya lebih mudah menetapkan masa siraman.

Selain itu, semburan racun perosak juga penting bagi memastikan tanaman jagung dapat hidup subur.

Katanya, untuk menjadi usahawan pertanian berjaya, perkara paling penting sudah tentu ilmu yang dapat diperoleh menerusi pelbagai kursus sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

"Di negara kita terdapat pelbagai kursus daripada segi tanaman dan pemasaran yang boleh kita sertai cuma hendak atau tidak sahaja.

"Selain itu, di media sosial juga terdapat pelbagai kumpulan sembang pengusaha tanaman ini untuk mendapatkan maklumat penjagaan daripada mereka.

"Kini, semua maklumat boleh didapati di hujung jari sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 6:30 AM