DATUK Seri Najib Razak dan Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) ketawa ketika Badruddin  menceritakan perihal jagung pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam.
DATUK Seri Najib Razak dan Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) ketawa ketika Badruddin menceritakan perihal jagung pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam.
Nasharuddin MuhammadMohd Nasif BadruddinHairulazim Mahmud dan Siti Fatimah Hassan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Gelagat Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruldin yang mengambil peluang mempromosikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam, mencuit hati pemimpin dan perwakilan.

Beliau yang sememangnya terkenal dengan lawak jenaka spontan kali ini menggunakan setongkol jagung sebagai bahan ‘promosinya’.

“Jagung ini dalam dia elok saja kerana disaluti bulu. Ada bulu banyak yang terkeluar warnanya keperangan kerana ia terdedah kepada cahaya matahari tetapi ‘bulu’ dalam elok warna putih kerana dilindungi kelopak jagung.

“Selain itu, jagung kita tak sebut sebiji sebab dia ada banyak biji tapi kita sebut setongkol,” katanya sambil menjulang setongkol jagung disambut gelak ketawa perwakilan ketika perbahasan usul ekonomi di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Badruddin yang juga Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan berkata, Malaysia mahu menghasilkan jagung seperti yang ditanam di Jepun kerana bahan makanan itu boleh terus dimakan mentah kerana isi yang lembut dan manis.

Sambil mengusap-usap tongkol jagung berkenaan, beliau mengajak semua perwakilan mengunjungi MAHA 2016 yang diadakan mulai 1 hingga 11 Disember ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Beliau terus bercakap mengenai kelebihan bahan makanan berkenaan yang memiliki banyak khasiat apabila dimakan antaranya mampu menurunkan kadar kolestrol dalam badan.

“Jagung ini bagus untuk pasangan, boleh direbus kemudian tok dan nek boleh makan sama-sama, lepas itu apabila cucu masuk ‘tidoq’, bolehlah sembang,” katanya lagi menyebabkan perwakilan riuh rendah ketawa.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai bahan makanan berkenaan, boleh berjumpa dengannya di MAHA 2016.

Sebanyak tiga juta tongkol jagung segar dan produk berasaskan jagung akan dijual sepanjang pameran pertanian terbesar negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:27 AM