Farah Suhaidah Othman


Gerik: Seramai 42 pesakit termasuk 22 daripadanya kanak-kanak dari Pos Kemar, dekat sini, mengalami simptom kesejukan dan menggigil lebih dari seminggu sebelum mereka ditempatkan di Hospital Gerik, di sini, sejak kelmarin.

Difahamkan, pada Jumaat lalu, seramai 20 penduduk dari perkampungan Orang Asli berkenaan dimasukkan ke hospital itu selepas mengalami simptom seperti kesejukan dan demam berpanjangan lebih dari tujuh hari.

Tinjauan wartawan ke hospital berkenaan mendapati jumlah itu bertambah kepada 42 orang selepas 10 lagi penduduk yang mengalami simptom sama dan disahkan positif malaria menerusi ujian darah.

Zulkifli Asyil, 19, yang berasal dari Kampung Senangit, Pos Kemar berkata, dia menggigil kesejukan selain demam sejak dua minggu lalu sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Desa Pos Kemar.

Katanya, selepas menjalani ujian darah di klinik berkenaan, pegawai perubatan di klinik itu kemudian membawanya ke hospital itu untuk menerima rawatan lanjut.

“Saya ingat saya seorang saja yang masuk hospital, tetapi saya tengok rakan lain turut dibawa menaiki bot untuk ke Hospital Gerik kerana mereka alami simptom sama.

“Sekarang saya rasa lebih sihat dan tidak lagi menggigil seperti sebelum dimasukkan di hospital,” katanya di hospital berkenaan, semalam.

Sementara itu, Abung Itam, 38, berkata, dua daripada enam anaknya dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami kesejukan dan menggigil sejak seminggu lalu.

“Anak saya yang kelima, Nornastasha Jusner, 9, dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu, manakala anak saya yang keempat, Ridzuan Jusner, 12, dimasukkan semalam (kelmarin) kerana doktor beritahu mereka positif malaria.

“Sebelum masuk hospital, kedua-duanya mengalami demam kejap-kejap dan menggigil seperti menggeletar lebih dari seminggu.

“Saya bagi ubat, keadaan mereka sama saja demam sekejap-sekejap dan kemudian, baru saya bawa pergi Klinik Desa Pos Kemar sebelum dibawa ke Hospital Gerik lepas buat pemeriksaan darah,” katanya.

Ridzuan berkata, selain kesejukan, dia turut mengalami gejala sakit perut dan cirit-birit, namun selera makannya tidak berkurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 8:50 AM
SEBAHAGIAN daripada 42 Orang Asli Pos Kemar yang disahkan positif malaria mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.
SEBAHAGIAN daripada 42 Orang Asli Pos Kemar yang disahkan positif malaria mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.