KAKITANGAN perubatan memeriksa seorang kanak-kanak orang asli yang dijangkiti malaria di Hospital Gerik.
KAKITANGAN perubatan memeriksa seorang kanak-kanak orang asli yang dijangkiti malaria di Hospital Gerik.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Keadaan perkampungan Orang Asli Kampung Senangit, Pos Kemar yang menjadi antara kampung paling terkesan dengan wabak malaria, dekat sini, menjadi sunyi serta-merta dengan riuh-rendah kanak-kanak.

Tok Batin Kampung Senangit, Hamdan Adik berkata, keadaan itu berikutan kebanyakan mereka yang terkena wabak itu adalah dalam kalangan kanak-kanak.

“Saya dimaklumkan bahawa masih ada kanak-kanak yang berusia dua hingga lima tahun yang demam.

“Keadaan kampung kini sunyi dengan riuh-rendah budak-budak, hanya seorang dua saja yang berada di sekitar rumah,” katanya, semalam.

Katanya, kini, sudah masuk hari kesembilan dia berada di Hospital Gerik dan tidak dapat pulang ke rumah di kampung terbabit.

Sehingga kini, dilaporkan seramai 61 daripada 260 penduduk di kampung berkenaan positif wabak malaria.

Menurutnya, paling terbaharu lima kakitangan Jabatan Kesihatan memasuki ke kawasan pedalaman Kampung Senangit perlu berjalan kaki sejauh tiga kilometer bagi mengambil ujian darah.

“Kira-kira 20 penduduk di dalam kawasan itu yang perlu membuat ujian darah,” katanya.

Hamdan berkata, keadaan keluarga di kampung dalam keadaan kritikal dan memerlukan sumbangan bantuan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:44 AM