Kakitangan Hospital Gerik memeriksa kanak-kanak Orang Asli dari kampung dekat Pos Kemar yang dijangkiti malaria. Foto Fail/SUPIAN AHMAD
Kakitangan Hospital Gerik memeriksa kanak-kanak Orang Asli dari kampung dekat Pos Kemar yang dijangkiti malaria. Foto Fail/SUPIAN AHMAD
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Empat lagi penduduk Orang Asli yang positif malaria di perkampungan Orang Asli Pos Kemar, Gerik, dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk rawatan lewat petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, setakat ini 65 pesakit dirawat di Hospital Gerik manakala 12 pesakit lagi di HKK menjadikan jumlah keseluruhan yang dimasukkan ke hospital ialah 77 orang berbanding 73 orang semalam.

Beliau berkata jumlah pesakit dijangka meningkat berikutan masih ada ujian slaid darah penduduk Orang Asli itu belum diperolehi.

“Seramai 2,600 penduduk daripada 19 kampung Orang Asli sudah menjalani ujian slaid darah manakala 1,000 penduduk masih belum menjalani ujian itu," katanya selepas merasmikan program Sambutan Hari Diabetis Sedunia 2016 peringkat negeri Perak sempena Hari Tanpa Kereta, di sini hari ini.

Dr Mah berkata, ada Orang Asli enggan menjalani ujian slaid darah mengakibatkan proses pengesanan wabak mengambil masa.

"Ada penduduk yang takut serta tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital hingga ada yang lari masuk hutan. Keadaan menyebabkan kita perlu memberi rawatan kepada mereka yang positif wabak malaria dengan pergi ke perkampungan Orang Asli berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 1:15 PM