ADIL   Muqmim  (kiri)   dan Adil Muiz  berkongsi kegembiraan  selepas Majlis Konvokesyen ke-12  UTeM, semalam.
ADIL Muqmim (kiri) dan Adil Muiz berkongsi kegembiraan selepas Majlis Konvokesyen ke-12 UTeM, semalam.

Melaka: Kembar, Adil Muiz Azhar, 25, dan Adil Muqmim perlu berkongsi motosikal ke kuliah sepanjang tujuh tahun menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), namun ia tidak menghalang mereka untuk bergelar penuntut cemerlang.

Akibat bergantung kepada motosikal sama, mereka kerap berdepan kesulitan untuk ke kuliah berikutan jadual waktu selain bidang pengajian diikuti berbeza.

Kembar berasal dari Negeri Sembilan itu bagaimanapun mengamalkan sikap tolak ansur bagi memastikan mereka dapat menggunakan motosikal sama dan tidak terlewat menghadiri kuliah.

Adil Muiz berkata, dia dan Adil Muqmin belajar di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) namun berbeza jurusan dengan dia mengambil Ijazah Sarjana Muda Multimedia manakala adiknya, Ijazah Sarjana Kepintaran Pembuatan.

“Pada hari tertentu, kami berada seharian di fakulti kerana menunggu masing-masing habis kuliah. Tetapi kami tidak menjadikan masalah pengangkutan sebagai alasan untuk tidak hadir ke kuliah.

“Lebih manis, kami berjaya tamatkan pengajian bersama tepat pada waktunya. Kami tidak mampu beli motosikal lain, jadi cara terbaik berkongsi dan mengikut jadual satu sama lain,” katanya selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-12 di sini, semalam.

Majlis Konvokesyen disempurnakan Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Adil Muiz yang kini bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah pasar raya di Kajang, Selangor berkata, berkongsi motosikal dengan kembar akan menjadi kenangan terindah selain pembakar semangat bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 7:21 AM