Nur Khairunnisa (dua dari kanan) berkongsi kegembiraan bersama rakannya pada majlis Konvokesyen UiTM, semalam.
Nur Khairunnisa (dua dari kanan) berkongsi kegembiraan bersama rakannya pada majlis Konvokesyen UiTM, semalam.
HM Digital

Shah Alam: Belajar secara berkumpulan dan kerap merujuk pensyarah rahsia lima sahabat peroleh keputusan cemerlang pada Istiadat Konvokesyen ke-88 Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam.

Lebih membanggakan, tiga graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Teknologi Polimer itu meraih Anugerah Naib Canselor (ANC).

Mereka ialah Nur Khairunnisa Roslan, Ahmad Aizuddin Ariffin, Muhammad Nazir Abdul Malek, Nur Fatin Izani Roszaimi dan Syed Hussin Al Jamalulil Syed Mustaffa Kamal masing-masing berusia 25 tahun.

Khairunnisa berkata, mereka berlima sering meluangkan masa berbincang mengenai pelajaran dan tugasan diberikan pensyarah.

“Bagi saya, belajar berkumpulan itu lebih bagus kerana kami saling melengkapi jika ada yang kurang faham mengenai pembelajaran dalam kuliah.

“Kami kerap merujuk kepada pensyarah jika ada kekeliruan sehingga pensyarah sendiri beritahu tidak pernah ada kumpulan pelajar yang kerap berjumpa dengannya seperti kami,” katanya di sini, semalam.

Lima sahabat itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dari 3.1 sehingga 3.89.

Bagi Ahmad Aizuddin, dia bersyukur menamatkan pengajian selama tiga tahun bersama empat sahabatnya.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-88 menyaksikan dua sidang berlangsung semalam bermula jam 8.45 pagi hingga 11.30 pagi, manakala sidang kedua 2.30 hingga 4.30 petang.

Seramai 1,903 menerima sijil masing-masing disampaikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 9:54 AM