DR Shahrin  mencuba basikal OBike.
DR Shahrin mencuba basikal OBike.
Salman Hamat

Alor Gajah: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan perkhidmatan basikal OBike dalam usaha membentuk budaya hidup sihat serta persekitaran bebas asapdi kampus utamanya di Durian Tunggal.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, dengan kerjasama syarikat OBike Kampus Durian Tunggal menerima 500 unit basikal untuk kegunaan penuntutnya, termasuk menghadiri kuliah.

Beliau berkata, perkhidmatan sewaan basikal itu secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan universiti, sekali gus mencetuskan fenomena gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus.

“Bagi tempoh dua bulan pertama warga kampus boleh menggunakan perkhidmatan ini secara percuma, harap kemudahan disediakan dijaga dan digunakan secara berhemah untuk kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Shahrin berkata, lokasi tumpuan penuntut di kampus itu adalah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Asrama Pelajar Satria, Asrama Pelajar Lestari, Masjid Sayyidina Abu Bakar, Bangunan Canselori, Pusat Persatuan Pelajar, Laman Hikmah dan Pusat Pengajian Siswazah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 7:58 AM