Nazri  (tengah) bersama  Dr Shahrin pada Majlis Konvokesyen ke-12 UTeM.
Nazri (tengah) bersama Dr Shahrin pada Majlis Konvokesyen ke-12 UTeM.

Melaka: “Kalau boleh saya berhasrat tamatkan pengajian seperti penuntut lain namun saya tidak berupaya melakukannya,” kata Penerima Anugerah Khas Aegrotat Nazri Mohd Noor, 28, pada Majlis Konvokesyen ke-12 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Majlis konvokesyen itu disempurnakan Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob.

Hadir sama Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Nazri yang mengalami masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar pada 2011 ketika berada di tahun tiga. Ia menyebabkan pengajiannya tertangguh selama beberapa tahun.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal itu berkata, serangan angin ahmar terbabit menyebabkan gangguan saraf sehingga melemahkan keupayaan fizikalnya.

“Saya jangka dapat sambung semula pengajian dan kerana itu saya ambil keputusan untuk tangguhkan pengajian sehingga awal tahun ini namun tahap kesihatan tidak banyak berubah malah sukar untuk saya uruskan diri sendiri apatah lagi mengikuti aktiviti amali di bengkel yang memerlukan kudrat kuat.

“Saya kemudian membuat permohonan untuk bergraduasi seterusnya menerima ijazah melalui sistem Aegrotat,” katanya ketika ditemui semalam.

Ibunya, Rosmah Mohd Pendek, 54, berkata, dia lega apabila melihat Nazri akhirnya menggenggam segulung ijazah dan mengharapkan yang terbaik untuk anaknya itu.

“Saya risau kerana Nazri terlalu memikirkan hal pengajian yang tertangguh sedangkan dia tidak sihat. Sebagai anak sulung, dia mahu menjadi contoh kepada tiga adiknya. Saya berdoa supaya Nazri segera sembuh,” katanya.

Sementara itu, Dr Shahrin berkata, pada majlis berkenaan, 606 penuntut menerima sijil graduasi termasuk 321 graduan ijazah sarjana muda dan 285 graduan diploma daripada lima fakulti.

“Daripada jumlah itu, dua adalah penerima anugerah Aegrotat dan Anumerta yang julung kali diberikan kepada penuntut UTeM yang tidak berpeluang menamatkan pengajian akibat masalah kesihatan selain meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:31 AM