KEINDAHAN tersendiri di Gunung Irau, Perak, penulis di ‘checkpoint The Lord of The Ring’.
KEINDAHAN tersendiri di Gunung Irau, Perak, penulis di ‘checkpoint The Lord of The Ring’.
Fariz Ubaidullah Mahamud.


SELEPAS bertahun-tahun tidak menjejakkan kaki ke Cameron Highlands, Pahang ajakan rakan untuk menakluk gunung ke-15 tertinggi tanah air, Gunung Irau menjadi dorongan untuk kembali ke tanah tinggi yang terkenal dengan buah strawberi, sayuran segar dan cuaca dingin itu.

Ekspedisi menakluk Gunung Irau yang terletak bersempadan antara Perak dan Pahang bermula pada pagi 28 Mei lalu dari Kem Sungai Pauh.

Penulis dan beberapa rakan pendaki terlebih dahulu menaiki pacuan empat roda melalui ladang teh dan sayur menuju pintu Hutan Simpan Batu Gangan.

Dari situ, kami melalui laluan berpapan berselang tangga yang dilengkapi dengan sebuah menara untuk meninjau sembilan gunung lain yang terletak berhampiran.

Pemandangan di sepanjang pendakian begitu indah dan mempesonakan dan cukup sempurna untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Tambahan pula laluan itu memisahkan Pahang di sebelah kanan dan Perak di sebelah kiri serta papan bermaklumat menjadi kenangan penerokaan rimba yang sesuai untuk semua peringkat usia.

Pendakian ke Gunung Irau pada ketinggian 2,110 meter (m) dengan 10 titik pemeriksaan (checkpoint) sememangnya menggoda setiap pendaki dengan keindahan hutan berlumut hijau dan tumbuhan seperti buluh perindu, pokok ceri kecil berwarna merah, periuk kera, orkid cobra lily, senduduk dan pokok kacip fatimah.

Selain itu, laluan pendakian juga kaya pelbagai spesies flora dan fauna lain yang jarang ditemui.

Justeru, pendaki perlu lebih peka dan kebiasaannya jurupandu juga akan memaklumkan kehadiran unggas atau fauna menarik yang berada di sekitar.

Untuk makluman, Gunung Irau sebelum ini ditutup kepada semua aktiviti pendakian mulai awal 2018 hingga tahun lalu kerana masalah tanah runtuh.

Kini ia dibuka semula, namun pihak berkuasa memasang tidak kurang daripada 18 tangga bomba di pelbagai tempat yang curam, pemantul berwarna kuning ke puncak Irau dan berwarna perak (laluan kembali) serta pelbagai kemudahan lain untuk mengurangkan risiko sesat atau kecederaan kepada pendaki.

DARI jauh kelihatan puncak Mini Irau.
DARI jauh kelihatan puncak Mini Irau.

Sebelum sampai ke puncak Gunung Irau, kami berhenti seketika merakam gambar kenangan di titik pemeriksaan menarik yang dipenuhi lumut.

Lokasi itu popular dalam kalangan pendaki dan turut dikenali sebagai 'checkpoint Lord of The Ring.'

Kawasan itu unik dan dipenuhi lumut di kiri kanan denai sehingga ke batang, dahan dan ranting pokok.

Jika ada rezeki, sedikit kabus boleh menambah realiti pendaki seolah-olah berada di set penggambaran filem trilogi terkenal arahan Peter Jackson itu.

Selepas hampir empat jam mendaki, penulis dan rakan pendaki lain akhirnya tiba di puncak dan masing-masing tidak melepaskan peluang mengisi perut dengan bekalan yang dibawa serta melepaskan lelah seketika.

Usai merakam gambar kenangan dan memulihkan tenaga, penulis bersama rakan pendaki dan jurupandu arah kemudian bergerak turun.

Dalam pada itu, selepas dibuka semula, menara tinjau di Gunung Irau kini turut dipasang konduktor kilat untuk mengelakkan panahan petir kepada pendaki.

Lebih menarik, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga memasang tiang serba guna dengan penujuk arah kiblat, barometer, higrometer dan termometer di puncak Irau dan di Mini Irau.

Semua pendaki juga perlu mematuhi peringatan masa (time off) iaitu 2 petang untuk turun semula ke pintu masuk.

ANTARA hidupan yang ditemui di sepanjang pendakian.
ANTARA hidupan yang ditemui di sepanjang pendakian.

Papan peringatan itu turut dipasang di puncak gunung berkenaan bagi memastikan pendaki tidak leka dan terlalu lama berada di puncaknya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat pula memasang maklumat koordinat di setiap titik pemeriksaan untuk memudahkan kerja mencari dan menyelamat jika diperlukan.

Apa pun, perjalanan hampir tujuh jam masuk dan keluar hutan bersempadan antara Pahang dan Perak itu banyak memberi kenangan tersendiri kepada penulis.

PENULIS (kanan) bersama jurupandu.
PENULIS (kanan) bersama jurupandu.

Penulis banyak mempelajari mengenai kepentingan ekologi kepada alam sekitar serta memperbaiki hubungan dengan Pencipta.

Selain itu, kepekaan kepada penjagaan alam sekitar dan semangat setia kawan, elemen persediaan ketika berdepan situasi kecemasan ketika berada dalam hutan juga tidak boleh dipandang ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 7:00 AM