PENIAGA  mengakui kekurangan pelanggan disebabkan harga ikan terpaksa dinaikkan.
PENIAGA mengakui kekurangan pelanggan disebabkan harga ikan terpaksa dinaikkan.

Seberang Jaya: Kekurangan hasil tangkapan berikutan keadaan laut bergelora akibat fenomena air pasang besar menyebabkan harga hasil laut meningkat berbanding sebelum ini.

Tinjauan di Pasar Awam Seberang Jaya, di sini, semalam, mendapati harga ikan kembung meningkat ketara apabila dijual RM12 sekilogram berbanding antara RM7 hingga RM8 sebelum ini manakala kebanyakan peniaga tidak menjual ikan sejak kelmarin berikutan kekurangan hasil tangkapan.

Peniaga ikan, Abu Hassan Hussain, 44, berkata, dia terpaksa membuka gerainya tiga kali seminggu berbanding setiap hari sebelum ini berikutan kekurangan bekalan ikan akibat fenomena air pasang besar.

Dia berkata, harga hasil laut terpaksa dinaikkan kerana nelayan menghadapi kesukaran mendapatkan hasil tangkapan dalam keadaan cuaca tidak menentu.

“Ikan kembung dijual dengan harga RM12 sekilogram berbanding hanya RM7 sebelum ini, ikan jelawat dengan harga RM8 sekilogram berbanding RM7 dan udang dengan harga RM35 sekilogram berbanding hanya RM25 sebelum ini.

“Selama 10 tahun berniaga ikan, di sini, ini adalah fenomena air pasang besar yang paling teruk pernah saya alami kerana kekurangan stok selama sebulan,” katanya.

Peniaga ikan, Abdul Rashid Din, 56, berkata, dia kehilangan ramai pelanggan berikutan kekurangan bekalan hasil laut akibat fenomena air pasang besar.

Menurutnya, beberapa peniaga terpaksa menutup gerai beberapa hari kerana tidak cukup bekalan ikan untuk dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 8:15 AM