Tinjauan bekalan makanan dan harga ikan di Pasar Besar Alor Setar masih terkawal serta dijamin mencukupi terutama ketika musim banjir dan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Tinjauan bekalan makanan dan harga ikan di Pasar Besar Alor Setar masih terkawal serta dijamin mencukupi terutama ketika musim banjir dan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Harga ikan kembung yang menjadi antara menu utama penduduk negeri ini turun kepada RM12 sekilogram hari ini, berbanding RM14 semalam.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati, harga satu kilogram (kg) kembung dibahagikan kepada gred A (RM12), gred B (RM8) dan gred C (RM6).

Bagaimanapun, harga udang harimau naik kepada RM40 sekilogram berbanding RM35 sebelum ini.

Peniaga ikan, Shuib Osman, 63, berkata, harga ikan turun berikutan stok harian mula meningkat selepas pembekal menghantar bekalan pelbagai hasil laut daripada jeti Kuala Kedah dan Kuala Muda.

"Harga kembung paling tinggi direkodkan adalah RM17 sekilogram baru-baru ini. Ia berikutan penurunan bekalan tetapi harga mula turun sejak Ahad lalu, dan hari ini, ia RM12 sekilogram.

"Jika cuaca elok dan banyak bekalan ikan dihantar, saya jangka harga kembung akan turun di bawah RM10 hujung minggu ini," katanya ditemui.

Sementara itu, tinjauan turut mendapati, harga pelbagai jenis sayur dan telur turut stabil dengan orang ramai masih mampu membeli bahan berkenaan dalam kuantiti besar.

Peniaga sayur, Mawardi Taha, 51, berkata, kebanyakan harga sayur turun mulai Sabtu lalu berikutan lebihan bekalan yang diterima peniaga.

"Kacang buncis turun kepada RM12 daripada RM15 sekilogram sebelum ini, sawi pula turun daripada RM10 sekilogram kepada RM7 sekilogram hari ini.
"Paling ketara turun harga ialah brokoli iaitu kepada RM12 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini. Bunga kubis RM10 berbanding RM18 sekilogram pada bulan lalu.

"Cili besar juga turun daripada RM20 kepada RM17 sekilogram, cili kecil daripada RM15 kepada RM13 sekilogram, limau nipis turun kepada RM8 berbanding RM10 sebelum ini," katanya yang sudah 10 tahun berniaga di pasar berkenaan.

Mawardi berkata, ada juga kenaikan harga bagi sayuran seperti halia kepada RM12 berbanding RM10 sekilogram sebelum ini manakala harga lengkuas, daun bawang dan daun sup kekal iaitu RM13, RM15 dan RM26 sekilogram.

"Saya difahamkan, harga sayur ini naik mendadak pada Disember lalu berikutan kekurangan bekalan di peringkat ladang selain turut dipengaruhi keadaan cuaca.

"Saya harap harga sayur-sayuran ini akan terus menurun kerana ramai yang terjejas ketika ini," katanya.

Selain itu, harga telur sepapan 30 biji turut kekal iaitu RM12.30 (gred A), RM11.70 (gred B) dan RM11.10 (gred C).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:29 PM