Ekhwan Haque Fazlul Haque

Bintulu: Semangat kebersamaan yang dipupuk sejak penubuhan Malaysia antara Semenanjung bersama Sarawak dan Sabah perlu diteruskan demi mengukuhkan kekuatan yang dimiliki selama ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, semangat sedemikian antara kunci menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berjaya dalam pelbagai bidang khususnya pembangunan.

Justeru, katanya, sebagai sebuah negara berjaya, aspek pembangunan yang inklusif menjadi keutamaan Kerajaan Pusat dalam membangunkan Sarawak dan Sabah seiring negeri di Semenanjung.

“Kita mesti cari titik kebersamaan dan kita mesti melihat kejayaan individu tak kira kumpulan etnik mana sebagai kejayaan kita selaku rakyat Malaysia.

“Kita juga mesti berusaha untuk kukuhkan Malaysia yang mempunyai kesatuan sosial dan harmoni melalui sukan, seni dan kebudayaan yang mampu menyatupadukan rakyat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia 2016 Peringkat Kebangsaan di Lapangan Terbang Lama, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah.

Selain itu, turut memeriahkan majlis sambutan, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta Menteri Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Majlis berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 hadirin yang turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api, persembahan artis terkemuka serta kumpulan koir Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pelajar sekolah sekitar Bintulu.

Pada majlis sambutan itu juga, buku khas sebagai simbolik penyatuan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah ditandatangani Najib, Adenan dan Joseph.

Najib turut menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk membawa lebih banyak pembangunan di Sarawak dan Sabah untuk manfaat rakyat dan generasi akan datang.

“Pembangunan yang seimbang perlu dilaksanakan supaya setiap inci negara ini dapat menikmatinya. Saya komited untuk majukan Sarawak dan Sabah.

“Sudah banyak Kerajaan Pusat lakukan contohnya Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,365 kilometer dengan perbelanjaan RM30 bilion dan pelbagai lagi pembangunan yang akan dilaksanakan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Pusat akan meneruskan agenda pembangunan yang dijanjikan selama ini dan keputusan Sarawak dan Sabah bersama membentuk Malaysia adalah tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:40 AM
 ABDUL Taib, Najib, Rosmah, Adenan dan orang kenamaan lain yang hadir, malam tadi.
ABDUL Taib, Najib, Rosmah, Adenan dan orang kenamaan lain yang hadir, malam tadi.
 PESERTA membuat persembahan di  sambutan Hari Malaysia  di tapak Lapangan Terbang Lama, Bintulu, semalam.
PESERTA membuat persembahan di sambutan Hari Malaysia di tapak Lapangan Terbang Lama, Bintulu, semalam.