NAJIB   bersama  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis berbuka puasa  di Sri Satria, Putrajaya, malam tadi.
NAJIB bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis berbuka puasa di Sri Satria, Putrajaya, malam tadi.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bakal menjadi pemangkin kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi di Sarawak apabila siap sepenuhnya kelak.

Menerusi laman Twitternya beliau berkata, seperti Lebuhraya Utara-Selatan membuka peluang pembangunan dan menambah baik jaringan perhubungan antara bandar di Semenanjung Malaysia, kesan sama bakal wujud melalui pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

“Kita akan dapat merealisasikan pembangunan yang berpaksikan rakyat di Sarawak dengan pembinaan lebuh raya ini yang menjadi penghubung bandar utama di Sarawak dan seterusnya bertemu dengan bahagian lebuh raya di Sabah.

“Saya yakin projek ini menjadi pemangkin yang mentransformasikan kehidupan saudara kita di Sarawak dan mengubah lanskap Bumi Kenyalang, seterusnya membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat di sana,” katanya.

Najib kelmarin, menyaksikan pemeteraian perjanjian bersejarah pembinaan Projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd.

“Impian saya untuk melihat pembangunan sama rata dan pengurangan jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semakin menjadi kenyataan. Insya-Allah kita berusaha melaksanakan projek ini bersama,” katanya lagi.

Perjanjian berkenaan yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha kerajaan Sarawak, Tan Sri Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi LBU, Tan Sri Abang Ahmad Urai Datuk Hakim Abang Mohideen di Putrajaya adalah bagi pelaksanaan projek fasa satu Lebuh raya Pan Borneo Sarawak membabitkan jajaran sepanjang 773 kilometer (km).

Pembinaan fasa satu dimulakan dengan pakej Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km pada September membabitkan pembinaan jajaran baru satu lorong dua hala untuk menghubungkan pekan kecil dan beberapa perkampungan di kawasan itu yang kini hanya boleh dihubungkan melalui jalan laut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:49 AM