Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2017, di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2017, di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Syah Rul Aswari Abdullah dan Norasikin Daineh dan Amniera Naziera Amran


Kota Kinabalu: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengulangi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengkaji semula hak-hak Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Perdana Menteri berkata, ia sudah dilaksanakan menerusi penubuhan jawatankuasa khas bagi memperincikan perkara itu yang sebelum ini dipersetujui ketiga-tiga pihak ketika pembentukan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perbincangan perlu dibuat berdasarkan semangat kekeluargaaan.

"Tak payahlah buat slogan 'Sabah for Sabahan' dan 'Sarawak dan Sarawakian'. Kita mahu 'Sabah for Malaysia' dan 'Malaysia for Sabah'.

"Dengan ini, kita akan maju dan keputusan tidak lama lagi untuk agihkan hak rakyat Sabah dan hak rakyat Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Malaysia 2017 peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Likas di sini, malam ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Turut hadir,wakil rasmi Ketua Menteri Sarawak iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.

Lebih 30,000 hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2017 dengan tema tahun ini, "Negaraku Sehati Sejiwa".

Dalam pada itu, Najib mengulangi komitmennya untuk melihat jurang pembangunan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dapat terus dikurangkan.

Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di negeri berkenaan tanpa tol yang juga hadiah Kerajaan Persekutuan kepada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

"Saya akan ambil perhatian khas untuk menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan lebih banyak (projek) kemudahan asas luar bandar untuk Sabah dan Sarawak... kerana kawasan desa di sabah dan Sarawak memerlukan peruntukan tambahan," katanya.

Selain itu, Najib berkata, kerajaan juga akan terus memastikan isu keselamatan Sabah.

"Kita akan pastikan Sabah akan terus selamat dan Sabah dalam Malaysia... terus kita pertahan selama-lamanya.

"Kepada pembangkang... tak payahlah 'buyuk' (tipu rakyat Sabah)... kita 'tatap' dalam Sabah... tidak goyang bah dalam Sabah... Sabah tidak 'goyang',' katanya.

Sementara itu, lebih Lebih 30,000 hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2017 dengan tema tahun ini, "Negaraku Sehati Sejiwa".

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 11:47 PM