NAJIB diiringi Adenan (kiri) menerima cenderahati daripada Mohd Sidek pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2016 di Dewan Suarah, Bintulu, semalam.
NAJIB diiringi Adenan (kiri) menerima cenderahati daripada Mohd Sidek pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2016 di Dewan Suarah, Bintulu, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bintulu: Semangat bersatu sebagai sebuah pasukan yang jitu harus dikukuhkan untuk memastikan Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS) terus gah yang dapat membawa pembangunan berterusan kepada negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai sebuah syarikat multinasional terkemuka, PETRONAS turut memainkan peranan signifikan sebagai ikon kepada Malaysia.

Menurutnya, PETRONAS yang beroperasi di 30 buah negara seluruh dunia dilihat antara kejayaan Malaysia yang sukar ditandingi negara lain.

“Sebagai Perdana Menteri, saya komited untuk melihat PETRONAS terus berjaya dan menjadi sebuah ikon kepada Malaysia dalam bidang minyak dan gas.

“Kejayaan yang dicapai PETRONAS selama ini adalah hasil penyatuan semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan kakitangannya. Ia (kejayaan) akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia 2016 bersama PETRONAS di Dewan Suarah, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Sidek Hassan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Najib berkata, setiap perbezaan yang wujud antara kerajaan negeri seperti di Sarawak baru-baru ini berjaya diselesaikan di meja rundingan demi manfaat bersama.

“Beberapa isu disebabkan berbeza pandangan tapi kita selesaikan atas prinsip penyatuan dan semangat harmoni.

“Jika Kerajaan Pusat berjaya, Kerajaan Sarawak juga mendapat faedahnya, begitu juga PETRONAS. Apa yang penting Malaysia berjaya dengan nilai kesetiaan, integriti, profesional dan kesepaduan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:09 AM