Mayat seorang lelaki  ditemui ditempat duduk belakang kereta.
Mayat seorang lelaki ditemui ditempat duduk belakang kereta.

Kajang: Misteri menyelubungi kes kematian seorang lelaki apabila mayatnya yang mula reput ditemui berada di dalam kereta curi.

Dalam kejadian jam 1 petang semalam, mayat lelaki berusia 40-an itu ditemui dalam kereta Proton Wira di Jalan Temenggung 21/9, Bandar Mahkota Cheras, di sini.

Mayat belum dikenal pasti identiti itu ditemui orang ramai berada berhampiran kawasan tangki air sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia mula terhidu bau busuk ketika melalui kawasan itu sejak pagi semalam namun tidak menyangka ia berpunca bau mayat manusia.

“Saya tidak sedar sejak bila kereta itu diletakkan di kawasan parkir awam berkenaan. Namun kami terkejut apabila terdapat mayat reput di dalamnya sebelum menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, mayat lelaki itu dipercayai warga tempatan namun masih tidak diketahui identitinya.

“Kami mendapat laporan daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat mayat seorang lelaki terbaring di tempat duduk belakang kereta itu.

“Pihak polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum mendapati mayat sudah berbau busuk dan hitam. Terdapat kesan lelehan air berpunca dari mayat pada kenderaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 6:27 AM