Labuan: “Tolong telefon bomba, bot kami dimasuki air dan akan karam,” kata tekong bot nelayan yang sempat menghubungi rakannya sebelum karam di perairan Kampung Batu Manikar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, 10 individu di dalam bot terselamat namun seorang daripada mereka mengalami kekejangan kaki.

Rakan tekong bot itu, Norita Asli, 30, berkata, dia menerima panggilan kecemasan daripada Amat Mahmud, 55, pada jam 10.28 pagi sebelum segera menghubungi talian 999 bagi memaklumkan kejadian.

“Ketika itu, saya berada di rumah dan sedang membaca mesej WhatsApp sebelum menerima panggilan Amat.

“Dengan nada cemas, Amat meminta saya menghubungi bomba kerana botnya sedang karam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, memang menjadi rutin hariannya berhubung dengan Amat kerana dia berniaga ikan di Pasar Sentral.

Sementara itu, Amat berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke jeti di kampung itu selepas dilanda angin kencang manakala keadaan laut bergelora.

“Sebaik selesai memasang pukat, angin dan ombak kuat menyebabkan kami bersama sebuah bot nelayan mengambil keputusan pulang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, bot kami dipukul ombak menyebabkan bahagian hadapan pecah sebelum mula tenggelam,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia kerugian RM150,000 selepas botnya tenggelam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan Muhamad Azman Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.29 pagi.

“Seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat, selain dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Mujur semua mangsa selamat dan diserahkan kepada pasukan perubatan bagi menjalani rawatan lanjut sejurus tiba di jeti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som berkata, hanya seorang mangsa cedera apabila mengalami kekejangan kaki dan dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:14 AM