Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam dalam kejadian di Pulau Talang, Pantai Remis, di sini, malam tadi, diselamatkan sebuah bot nelayan di Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk. FOTO IHSAN DAYANG ISMAIL
Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam dalam kejadian di Pulau Talang, Pantai Remis, di sini, malam tadi, diselamatkan sebuah bot nelayan di Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk. FOTO IHSAN DAYANG ISMAIL
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: "Hati saya kuat mengatakan suami dan anak selamat. Pagi tadi saya sempat masak nasi, kari ikan serta ikan goreng untuk mereka makan jika balik ke rumah. Doa saya dimakbulkan," kata Dayang Ismail, 55.

Dayang adalah isteri kepada tekong bot, Mohd Nor Sulaiman, 62, yang hilang selepas bot dinaikinya bersama anak, Norasmawi, 29, dan seorang lagi kru berusia 70 tahun karam di Pulau Talang, Pantai Remis, di sini, kira-kira jam 9 malam tadi.

Menurut Dayang, bot dinaiki suami, anak keempat dan seorang lagi kru itu diselamatkan sebuah bot nelayan dari Pulau Pangkor di perairan Pulau Sembilan, Bagan Datuk pada 11 pagi tadi.

"Dari malam tadi hati ini tak tenang, saya juga tak (dapat) tidur dan makan kerana bimbangkan keadaan suami dan anak. Tetapi saya tetap masak pada 10 pagi tadi untuk mereka makan apabila pulang.

"Semua rasa itu terus hilang dan kembali lega apabila mereka semua selamat. Terima kasih kepada bot nelayan yang membantu mereka. Saya juga berterima kasih kepada nelayan lain dan pihak berkuasa terutama APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan semula ketika dimaklumkan kejadian menimpa suaminya itu, Dayang berkata, suami menghubungi anak sulung mereka pada 8.30 malam memaklumkan botnya tenggelam dan meminta bantuan.

"Suami cakap dengan anak 'datang tolong abah, bot abah dah tenggelam'. Suami juga cakap akan bagi (nyalakan) lampu dan anak ketika itu dengar suami beritahu lokasinya hujung-hujung nama saja seperti lan...lang...(sebelum talian terputus) itu yang dia ingatkan ayahnya di Pulau Talang.

"Saya pula terus hubungi talian kecemasan dan buat laporan. Anak sulung kemudiannya bersama beberapa anak lain dan nelayan kampung segera ke Pulau Talang tetapi tidak menemui suami dan rupanya mereka di Pulau Sembilan," katanya yang memberitahu ini kali pertama bot dikendalikan suaminya karam sejak 48 tahun menjadi nelayan.

Sementara itu, Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga lelaki berkenaan berada dalam keadaan baik, tidak cedera dan sudah dihantar ke Pantai Remis.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) ditamatkan pada 3.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:51 PM