Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan STING Bukit Aman berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa hasil kerjasama dengan Biro Penyiasatan Jenayah Taiwan dengan tertangkapnya sembilan orang dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM2.5 juta, Selasa lalu.

Pengarah JSJN Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam empat serbuan berasingan bermula 2 pagi hingga 2 petang, pihaknya menahan tujuh lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 46 tahun, seorang lelaki Bangladesh berusia 31 tahun dan wanita Vietnam berusia 22 tahun.

Menurutnya, polis merampas dadah jenis ekstasi, pil eramin 5, syabu, ganja, ketamin dan pelbagai bahan kimia dipercayai digunakan untuk membuat dadah.

“Serbuan dilakukan hasil kerjasama risikan dengan Biro Penyiasatan Jenayah Taiwan sejak beberapa bulan lalu.

“Maklumat yang diberikan ternyata tepat hingga berjaya melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mokhtar berkata, dadah ini disyaki untuk pasaran tempatan khususnya di pusat hiburan.

Katanya, polis turut merampas pelbagai barang lain termasuk mata wang asing, kenderaan, jam tangan dan berang kemas berjumlah RM830,000.

"Sembilan suspek yang ditahan direman sehingga 25 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 12:51 PM
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan dadah dan barangan lain yang dirampas. - Foto RABI 'ATUL 'ADAWIYAH ISMAIL
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan dadah dan barangan lain yang dirampas. - Foto RABI 'ATUL 'ADAWIYAH ISMAIL