Kuala Lumpur: Impian sembilan ahli sindiket dadah antarabangsa bergelar ‘jutawan segera’ berkubur apabila mereka diberkas polis sebelum sempat mengedarkan dadah jenis ekstasi dimasak sendiri bernilai lebih RM2.5 juta.

Difahamkan, sindiket dadah terbabit mempunyai makmal khas bagi menghasilkan ekstasi dan syabu di Taman Desa, Jalan Klang Lama itu.

Mereka dikesan menggunakan pelbagai cecair kimia antaranya ephedrine, iodin, serbuk redphosphorus dan asid hidroklorik yang diadun menjadi dadah berkualiti tinggi.

Kegiatan mereka bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), dengan kerjasama Biro Penyiasatan Jenayah Taiwan menyerbu sebuah pusat snuker di Jalan Tun Razak di sini, jam 2 pagi Selasa lalu.

Hasilnya polis menahan sembilan individu, tujuh lelaki warga tempatan dan masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh serta wanita warga Vietnam berusia antara 22 hingga 46 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, sindiket antarabangsa itu dikatakan baru beberapa bulan beroperasi dan disyaki turut memperoleh bekalan dadah dari luar negara seperti China, negara segi tiga emas Asia (sempadan Thailand, Laos dan Myanmar) dan Golden Crescent Asia (Afghanistan, Iran dan Pakistan).

Menurutnya, bekalan dadah itu disyaki untuk pasaran tempatan terutamanya dijual ke pusat hiburan di sekitar ibu kota.

“Bagaimanapun, polis turut menemui 30.5 kilogram kimia ephedrine yang digunakan untuk membuat syabu dan pelbagai bahan kimia lain dalam serbuan susulan di sebuah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:50 AM
MOKHTAR menunjukkan antara barang  yang dirampas dalam serbuan terbabit.
MOKHTAR menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan terbabit.