Sumatera: Tiga wanita berasal dari Aceh ditangkap di Lapangan Terbang Kualanamu, Deli Serdang di Sumatera Utara selepas didapati memiliki 817 gram dadah jenis syabu.

Ketiga-tiga suspek -An, 50, Ra, 35, dan Er, 42 - dilapor ditahan ketika bersiap sedia hendak terbang ke Lombok dengan pesawat Citilink.

Menurut laporan, pihak berkuasa lapangan terbang itu mencurigai suspek kerana ketiga-tiganya kelihatan berkelakukan luar biasa.

Apabila ditahan dan diperiksa, anggota keselamatan menemui dadah berkenaan di dalam seluar dalam mereka.

“Mereka mengaku membawa dadah itu untuk diserahkan kepada seseorang di Lombok,” kata pengurus lapangan terbang, Kuswadi.

Mereka kemudian menyerahkan suspek bersama-sama bukti kepada polis untuk tindakan lanjut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:20 AM