Gambar hiasan
Gambar hiasan
Agensi

Jakarta: Akibat ketagih berjudi, seorang lelaki Indonesia sanggup mencuri pagar besi di tanah perkuburan sebelum menjualnya semata-mata untuk mendapatkan wang.

Tindakan nekad lelaki berusia 38 tahun itu membolehkan dia berjoli dengan wang jualan 150,000 Rupiah (RM42.66), namun tidak lama apabila ditahan polis, Rabu lalu.

Kecurian itu dilapor berlaku di tanah perkuburan awam Turida, Sandubaya, Kota Mataram, Lombok.

Ketua Polis Sandubaya, Nasrullah mengesahkan suspek ditahan dan telah mengaku mencuri pagar itu serta menjualnya kepada penjual besi buruk.

"Suspek mencuri pagar berkenaan kerana ketagih berjudi 'slot'.

"Suspek keluar mencuri pada waktu malam dan dia menendang serta merosakkan pagar itu hingga ia terlerai daripada konkrit.

"Pagar besi berkenaan kemudiannya dijual dan dia berhasil mendapat 150,000 rupiah (RM42.66)," katanya yang dilapor Kompas.

Nasrullah berkata, penduduk mengalami kerugian 2.5 juta Rupiah (RM710.96) akibat tindakan tidak bertanggungjawab suspek.

Ketika ditanya media, suspek mengaku dia ketagih berjudi dan menjual pagar dicuri untuk menampung duit judinya.

"Empat kali saya mencuri dan dua kali dimasukkan ke penjara. Saya khilaf," katanya yang memberitahu pernah terbabit kesalahan dadah.

Untuk kesalahan berkenaan, suspek berdepan hukuman penjara lima tahun dan disiasat mengikut Pasal 362 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 12:05 PM