TRAK ATM yang membawa 13 penumpang terbabit kemalangan di Plaza Tol Mambau, Lebuhraya Port Dickson-Seremban (SPDH), semalam. FOTO ihsan pembaca
TRAK ATM yang membawa 13 penumpang terbabit kemalangan di Plaza Tol Mambau, Lebuhraya Port Dickson-Seremban (SPDH), semalam. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Sekumpulan tentera yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman terbabit kemalangan dekat Plaza Tol Mambau, Lebuhraya Port Dickson-Seremban (SPDH), arah Seremban, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 13 penumpang dikatakan hilang kawalan lalu merempuh konkrit pembahagi lorong plaza tol.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, akibat kejadian itu, empat mangsa termasuk pemandu mengalami kecederaan parah.

"Kemalangan berlaku di Kilometer 7.1 Plaza SPDH menghala ke arah Seremban membabitkan sebuah trak milik ATM yang membawa 13 penumpang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila trak tiga tan jenis Hicom yang dipandu anggota tentera iaitu seorang lelaki berumur 25 tahun melanggar konkrit pembahagi lorong plaza tol," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penumpang kenderaan terdiri daripada Perajurit Muda yang baru selesai tamat latihan asas.

"Trak sedang bergerak dari arah Markas 1 Kompeni Angkut Kem Si Rusa, Port Dickson menghala ke arah Terminal Satu, Bandar Seremban, bertujuan menghantar penumpang pulang bercuti.

"Namun, setiba di tempat kejadian kenderaan yang sedang bergerak di lorong paling kiri disyaki mengalami kerosakan brek menyebabkannya hilang kawalan lalu merempuh tembok tengah pembahagi lorong tol.

"Akibat pelanggaran, empat mangsa iaitu seorang pemandu dan tiga penumpang mengalami kecederaan parah.

"Lapan penumpang mengalami kecederaan ringan manakala dua penumpang tidak mengalami kecederaan.

"Kesemua 12 mangsa yang berumur antara 19 sehingga 25 tahun dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) oleh pihak ambulans untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 5:13 PM