KEADAAN lori yang melanggar penghadang jalan.
KEADAAN lori yang melanggar penghadang jalan.
HM Digital

Port Dickson: Pasangan suami isteri yang juga peniaga air kelapa cedera selepas lori dinaiki terbabit kemalangan dengan kereta di KM 14.7 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) arah utara, dekat Lukut, di sini, semalam.

Difahamkan, pasangan berusia 50-an terbabit dari Port Dickson ke Seremban sebelum berlanggar dengan kereta Proton Wira menyebabkan lori yang membawa muatan kelapa terbabas ke penghadang jalan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Zainudin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.58 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasangan terbabit tersepit dan kita mengambil masa lima minit mengeluarkan mereka.

“Bagaimanapun, tiga lelaki yang menaiki Proton Wira tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera di kaki diserahkan kepada pegawai perubatan yang tiba di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 9:10 AM