Najib ditemu bual pada majlis Mesra Aidilfitri Kumpulan FELDA.
Najib ditemu bual pada majlis Mesra Aidilfitri Kumpulan FELDA.
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Kerajaan mempunyai visi untuk melihat generasi peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) lebih maju pada masa depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, meskipun berdepan pelbagai rintangan termasuk ketidaktentuan ekonomi dunia, kebajikan generasi peneroka sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau berkata, FELDA amat dekat di hati beliau lantaran konsep FELDA diasaskan oleh Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein.

“Generasi pertama FELDA dulu terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuk terpaksa membuka hutan menggunakan kudrat sendiri, berdepan haiwan liar seperti gajah dan harimau dan terpaksa berkongsi bekalan air untuk enam rumah serta mandi di tepi jalan.

“Alhamdulillah, hari ini setiap rancangan FELDA sudah jauh maju ke depan. Dan kita memikirkan bagaimana untuk membawa komuniti FELDA ke satu tahap lagi menerusi pelbagai perancangan termasuk pelaburan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) supaya hasil FELDA dan kebajikan masyarakat FELDA dapat diperkasakan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Mesra Aidilfitri Kumpulan FELDA bersama Perdana Menteri di Menara FELDA, semalam.

Hadir sama Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan isteri Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan Pengarah Besar FELDA Datuk Hanapi Suhada.

Mengulas lanjut Najib berkata, dalam memastikan perumahan yang selesa untuk generasi FELDA seluruh negara, kerajaan memperuntukkan pinjaman maksimum RM40,000 sejak 2005.

“Skim pinjaman untuk memperbesar rumah generasi FELDA ini yang terbaik kerana tanpa kadar faedah. Sebab itu, hari ini ada rumah FELDA lebih baik dan cantik. Bila ada pertandingan keindahan FELDA, hakim terkejut melihat rumah generasi FELDA ini begitu indah,” katanya.

Pada majlis itu, selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan lazat termasuk laksa Sarawak, ketupat dan lemang, hadirin diraikan dengan persembahan Kumpulan Koir FGV selain diadakan pertandingan pakaian dan gerai tercantik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:21 AM