POLIS merampas lori yang dilarikan suspek.
POLIS merampas lori yang dilarikan suspek.
myMetro

Jempol: Dua lelaki termasuk seorang remaja berlagak seperti samseng apabila bertindak merampas kunci lori sebelum mengugut mahu membunuh anggota penguat kuasa Lembaga Getah Malaysia (LGM), selepas kenderaan yang mereka gunakan ditahan kerana disyaki menjual getah secara haram berhampiran FELDA Palong Lapan, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 35 tahun berang selepas lori satu tan membawa muatan getah sekerap ditahan pihak berkuasa di Kampung Orang Asli Pasal, Pos Iskandar, Bera, jam 10.50 pagi hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, anggota penguat kuasa LGM menahan lori berkenaan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti jual beli getah secara haram.

Beliau berkata, anggota terbabit kemudian membawa lori itu ke depoh LGM di Bandar Seri Jempol, di sini, bagi siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, pada jam 12 tengah hari semalam (kelmarin), kenderaan yang dinaiki anggota penguat kuasa dan lori muatan getah itu ditahan suspek.

“Seorang daripada mereka bertindak merampas kunci lori daripada anggota penguat kuasa, selain mengugut mahu mencederakan mereka dengan senjata tajam.

“Malah, suspek juga sanggup membunuh jika anggota penguat kuasa LGM mahu mengambil lori mereka,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, anggota penguat kuasa terbabit membuat laporan di Balai Polis Ladang Geddes, jam 1.45 petang hari kejadian.

“Bertindak atas laporan dibuat, polis menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah di FELDA Palong Lapan selain merampas lori berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:13 AM