GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


REMAJA perempuan berdepan detik hitam apabila diperkosa kekasihnya di rumah keluarga lelaki itu di FELDA Palong di Jempol, Rabu lalu.

Difahamkan, remaja terbabit berusia 15 tahun itu dipercayai berkenalan dengan lelaki berusia 21 tahun itu di Instagram sebelum mereka menjadi pasangan kekasih dan saling berkongsi gambar bogel.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga didatangi lelaki itu ketika berada di hadapan sekolah di daerah ini.

“Suspek menyuruh mangsa menaiki kereta dipandunya, tetapi mangsa menolak pelawaan itu.

“Bagaimanapun, suspek mengugut mahu menyebarkan gambar bogel mangsa sekiranya enggan menurutinya. Disebabkan takut, mangsa mengikut suspek sebelum dibawa ke sebuah rumah di FELDA Palong.

“Mangsa dibawa masuk ke dalam bilik sebelum dirogol suspek. Suspek kemudian menghantar semula mangsa ke sekolahnya pada 3.30 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, perbuatan suspek itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian kepada ahli keluarganya sebelum dibawa membuat laporan polis, Jumaat lalu.

Katanya, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Bahau, 3.55 petang hari sama.

“Polis merampas dua telefon bimbit milik suspek dan pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui pin rambut dipercayai milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 12:51 PM