myMetro

Kuantan: Suasana malam di FELDA Panching Utara di sini, ceria dengan limpahan cahaya pelita buluh menerangi sepanjang laluan utama tanah rancangan berkenaan hasil kesepakatan penduduk yang mahukan suasana lebih meriah menjelang Aidilfitri.

Sebanyak 3,000 pelita buluh atau turut dikenali sebagai pelita panjut dipasang di kiri dan kanan laluan utama bermula dari jalan masuk hingga ke hujung FELDA berkenaan sejauh tiga kilometer sepanjang malam bermula 30 Jun lalu.

Lebih meriah apabila program pemasangan pelita panjut itu dilaksanakan secara bergotong-royong membabitkan 30 penduduk pelbagai peringkat usia termasuk golongan muda.

Penyelaras program Amir Sulaiman berkata, 20 pemuda kampung berkenaan diberi tanggungjawab mengisi minyak tanah ke dalam pelita panjut serta menyalakannya setiap malam bermula jam 8 malam.

“Program ini bertujuan mewujudkan suasana ceria di FELDA ini sempena menyambut kedatangan Aidilfitri selain mengeratkan hubungan antara penduduk,” katanya.

Katanya, program julung kali ini turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pengurusan FELDA serta UMNO Bahagian Paya Besar.

“Kami bercadang untuk menjadikan ia program tahunan hasil sambutan luar biasa diterima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 10:09 AM
PENDUDUK kampung menyalakan panjut di sepanjang Jalan raya di FELDA Sungai Panching Utara.
PENDUDUK kampung menyalakan panjut di sepanjang Jalan raya di FELDA Sungai Panching Utara.