KEADAAN di tapak bazar Ramadan Tanjung Gemuk selepas kejadian ribut dan angin kencang, semalam.
KEADAAN di tapak bazar Ramadan Tanjung Gemuk selepas kejadian ribut dan angin kencang, semalam.
Zul Ikhwan Muhammad


Endau: Kira-kira 50 peniaga Bazar Ramadan Tanjung Gemuk, di sini, terjejas selepas khemah dan kelengkapan perniagaan rosak dipukul ribut awal pagi, semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu tidak disedari peniaga sehingga mereka tiba di tapak bazar berkenaan, tengah hari semalam untuk membuat persiapan di gerai masing-masing sebelum memulakan operasi perniagaan.

Penduduk, Zainon Ahmad, 30, berkata, dia yang melalui kawasan bazar berkenaan untuk ke Pasar Endau terkejut mendapati hampir keseluruhan khemah peniaga rosak dengan peralatan digunakan bergelimpangan.

Katanya, pada malam kejadian angin bertiup kencang hingga menggegarkan bumbung rumah penduduk, namun tidak menyangka keadaan lebih teruk berlaku di tapak bazar Ramadan.

“Tahun lalu kejadian sama berlaku pada waktu petang menyebabkan peniaga dan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri, namun mujur kali ini ia berlaku tanpa membabitkan orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Zainon berkata, beberapa peniaga turut mengalami kerugian akibat peralatan perniagaan seperti bekas air pecah diterbangkan angin.

“Mujur tiada kecederaan atau kehilangan jiwa berlaku, tetapi sekiranya ribut pada waktu petang, pasti keadaan menjadi lebih teruk kerana bazar Ramadan ini sentiasa dipenuhi orang ramai,” katanya.

Difahamkan jumlah kerugian peniaga terbabit belum ditafsirkan, tetapi mereka meneruskan aktiviti masing-masing selepas mengemas peralatan dan khemah yang bertaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:22 AM