Norzamira Che Noh

Klang: Peniaga serta pengunjung bazar Ramadan di hadapan Masjid Asy-Syarif, Meru dikejutkan dengan angin kencang serta hujan lebat, petang hari ini.

Berdasarkan satu rakaman video berdurasi 31 saat yang tular, beberapa khemah serta barang jualan peniaga rosak akibat angin kencang itu.

Menerusi video itu, terdapat sebuah khemah peniaga diterbangkan angin setinggi kira-kira 50 meter.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Hussin Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan berlaku kejadian angin kencang serta hujan lebat di kawasan itu.

TANGKAP layar khemah peniaga bazar Ramadan yang diterbangkan ribut. FOTO ihsan pembaca
TANGKAP layar khemah peniaga bazar Ramadan yang diterbangkan ribut. FOTO ihsan pembaca

"Ada (kejadian angin kencang) tetapi tiada laporan diterima bomba setakat ini," katanya ringkas.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menerusi laman Facebook memaklumkan ribut melanda pekan itu dan disusuli hujan lebat.

"Ribut melanda Meru dan bazar Ramadan antara yang teruk terjejas. Doakan tiada yang serius.

"Saya akan usahakan mana yang boleh untuk bantu mereka yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 10:11 PM