HELMI Afizal menyerahkan wang zakat Affin Islamic kepada Ismail.
HELMI Afizal menyerahkan wang zakat Affin Islamic kepada Ismail.
Siti A'isyah Sukaimi dan Nurul Amanina Suhaini

Kajang: “Tilam baru antara yang diperlukan pada masa ini memandangkan ia sudah lama tidak ditukar sejak kira-kira empat tahun,” kata guru Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Islah (MTQA), Desa Pinggiran Putra, Ismail Ahmad.

Menurutnya, pusat tahfiz persendirian itu memerlukan kira-kira 15 tilam baru untuk kegunaan 18 pelajarnya yang berusia antara sembilan hingga 16 tahun.

“Selain tilam, pusat tahfiz ini juga memerlukan keperluan lain seperti peti ais bagi memudahkan untuk menyimpan barangan makanan basah dan mesin basuh untuk kegunaan pelajar.

“Pusat tahfiz ini beroperasi sejak 2012. Alhamdulillah dalam tempoh empat dan lima tahun ini, pelbagai pihak tampil menyampaikan bantuan termasuk #HMKotakRezeki oleh Harian Metro pada 2017 dan Ramadan lalu,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM3,500 daripada Affin Islamic Bank di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan Eksekutif Kanan Pengurusan Zakat, Bahagian Penyeliaan Syariah Affin Islamic Bank, Helmi Afizal Zainal.

Turut hadir, Pengarang Berita NSTP Putrajaya, Nasharuddin Muhammad.

Sumbangan zakat itu susulan daripada serahan #HMKotakRezeki pada 31 Mei lalu sempena Ramadan dan AffinBank Group antara penyumbang utama program berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihak pengurusan MTQA mengucapkan terima kasih atas sumbangan zakat itu, sekali gus meringankan perbelanjaan pusat tahfiz berkenaan.

“Wang yang diterima ini akan digunakan termasuk pembayaran bil elektrik dan air selain dimanfaatkan untuk keperluan pelajar di sini.

“Kami juga berbesar hati dan mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk keperluan pelajar di pusat tahfiz ini,” katanya.

Menurutnya, pelajar pusat berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan tinggal di sekitar Putrajaya, selain Subang, Gombak serta negeri lain seperti Melaka.

“Empat daripada pelajar di sini adalah kategori asnaf dan pusat tahfiz juga menanggung yuran tiga daripada pelajar terbabit. Ada juga pelajar yang menerima bantuan daripada Pusat Zakat Selangor berhubung pembayaran yuran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:21 AM