DUL bersama isterinya, Rafidah.
DUL bersama isterinya, Rafidah.
Nazdy Harun

Hulu Terengganu: “Bukan mudah untuk menguruskan isteri yang diserang angin ahmar, lebih-lebih lagi saya juga kehilangan sebelah tangan kiri akibat kemalangan di tempat kerja. Namun, atas dasar tanggungjawab dan kasih sayang, saya lakukannya dengan ikhlas,” kata Dul Omar, 52, ketika di temui di rumah di Kampung Bukit Apit, di sini.

Menurutnya, isterinya, Rafidah Othman, 48, diserang angin ahmar sejak enam tahun lalu, manakala dia pula terbabit dalam kemalangan di tempat kerja 11 tahun lalu yang mengakibatkan dia kehilangan tangan kiri.

Katanya, pada mulanya dia agak kekok kerana semua kerja perlu dilakukan menggunakan sebelah tangan termasuk menunggang motosikal, namun lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan.

“Syukur ketika itu isteri banyak membantu menjaga dan memberi dorongan hingga saya mampu bekerja kembali di kilang papan untuk mencari rezeki walaupun sudah kehilangan sebelah tangan.

“Apabila isteri pula diuji dengan penyakit angin ahmar, maka saya perlu berkorban menjaganya terutama dalam menyediakan makan minum, selain memandikannya dengan kudrat sebelah tangan,” katanya.

Katanya, setiap pagi sebelum ke tempat kerja, dia akan memapah isterinya naik ke atas kerusi roda sebelum disorong ke bilik air dan selepas selesai isterinya mandi, dia akan memakaikan pakaian dan rutin sama dilakukan pada sebelah petang.

Dul berkata, sekiranya anak ada di rumah, mereka banyak membantu namun jika tidak, dialah yang perlu menguruskan semuanya.

“Mujur ketika saya kehilangan tangan semua anak sudah besar dan mampu menguruskan diri sendiri.

“Bagaimanapun, dengan sebelah tangan saya menunggang motosikal dan mampu menghantar mereka terutama ke sekolah pada waktu itu,” katanya.

Menurutnya, makanan hanya dibeli dan jarang sekali dia memasaknya memandangkan kekangan waktu untuk berbuat demikian dan mujur tangan isterinya mampu digerakkan untuk menyuap makanan.

Kata Dul, dia mempunyai tiga anak iaitu Nurfazzy Fazwin, 25, sudah berkahwin, manakala Mohammad Habibul Hazim, 22, menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan anak bongsunya, Muhammad Haris Budiman, 18, dalam proses melanjutkan pelajaran ke kolej.

Menurutnya, anak bongsunya diberi kebenaran menangguhkan pengajian kerana giat menjalani latihan berikutan mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) dalam acara bola tampar.

“Kadang kala hanya saya berdua dengan isteri di rumah berikutan anak mempunyai komitmen mereka sendiri namun saya bersyukur walaupun dengan kekurangan diri saya tetap mampu menjaga isteri sebaik mungkin.

“Selagi dipanjangkan usia, saya akan menjaga isteri sebaik mungkin seperti mana dia menjaga saya dan anakk satu ketika dulu ,” katanya.

Katanya, dia akan berkorban apa saja demi keluarganya terutama untuk melihat isterinya sembuh daripada penyakit dan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran serta kehidupan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:39 AM