Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Ketika orang lain berlumba-lumba mencapai cita-cita, namun pemuda ini sanggup mengetepikan kepentingan sendiri demi kasih sayang kepada bapanya yang menghidap angin ahmar sejak lebih sebulan lalu.

Iwan Hafizi Zamrud Hisham, 24, yang bekerja secara kontrak dengan syarikat minyak dan gas sejak empat tahun lalu sepatutnya kembali bekerja pada awal bulan ini.

Namun, dia menolak kerana ingin menjaga serta memberi sepenuh perhatian kepada ayahnya, Zamrud Hisham Ahmed, 54, yang lumpuh sebelah kiri badan.

Katanya, ayahnya diserang angin ahmar secara tiba-tiba di Pasar Besar Siti Khadijah, pada Mac lalu.

"Pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati terdapat gumpalan darah beku di bahagian kepala dan ayah dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selama 10 hari.

"Alhamdulillah, selepas membuat rawatan tradisional dengan memanggil tukang urut dan menjalani fisioterapi setiap dua minggu di HRPZII keadaan ayah sudah banyak berubah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berek 12, di sini.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan Timbalan Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVTM) Pengkalan Chepa, Tuan Mat Tuan Kub.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, selepas ayahnya bersara sebagai anggota tentera pada 2007, dia banyak berkorban dan melakukan pelbagai pekerjaan untuk membesarkan mereka adik beradik.

"Kini biarlah saya yang mengambil alih menjaga serta menguruskannya, memandangkan abang dan kakak bekerja di Kuala Lumpur, manakala ibu, Wan Hasnah Wan Daud, 55, pula mempunyai penyakit darah tinggi selain tidak boleh terlalu penat.

"Namun ada ketikanya, saya dibantu oleh ibu dan adik bongsu, Imran Hanif Zamrud Hisham, 18, menguruskan keperluan ayah termasuk menukar lampin pakai buang serta memandikannya.

"Perbelanjaan bulanan ayah seperti tambang ambulans setiap kali menghadiri temujanji di hospital selain kos membeli lampin pakai buang sedikit ringan apabila ayah mendapat pencen RM800 sebulan, manakala ibu yang juga pesara jururawat di HRPZII turut memperoleh wang pencen RM1,900 sebulan," katanya.

IWAN Hafizi (kiri) menjaga serta menguruskan keperluan ayahnya yang diserang angin ahmar sebelah kiri badan sejak lebih sebulan lalu dan pada masa sama, turut dibantu ibunya, Wan Hasnah dan adik bongsunya, Imran Hanif ketika ditemui di Kampung Berek 12. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
IWAN Hafizi (kiri) menjaga serta menguruskan keperluan ayahnya yang diserang angin ahmar sebelah kiri badan sejak lebih sebulan lalu dan pada masa sama, turut dibantu ibunya, Wan Hasnah dan adik bongsunya, Imran Hanif ketika ditemui di Kampung Berek 12. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Ketika ditanya sama ada timbul atau tidak perasaan menyesal atas pengorbanan yang dilakukan itu, Iwan Hafizi berkata, keputusan itu diambil selepas memikirkan semasak-masaknya malah tidak pernah timbul rasa kesal.

"Jika ayah sudah kembali sihat, saya boleh kembali bekerja. Saya juga tidak pernah putus berdoa semoga ayah akan sembuh suatu hari nanti.

"Buat sementara ini, biarlah saya terus berkorban bagi memastikan ayah tidak terabai dan sudah semestinya sebagai anak wajib menjalankan tanggungjawab menjaganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:20 PM