CHE Wan menyuapkan makanan kepada Kamarudin yang terlantar akibat serangan angin ahmar di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah. FOTO/ Hassan Omar
CHE Wan menyuapkan makanan kepada Kamarudin yang terlantar akibat serangan angin ahmar di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah. FOTO/ Hassan Omar
Hassan Omar


SUAMI isteri yang hidup dalam serba kekurangan di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini terpaksa menghadapi ujian berat diserang angin ahmar.

Hanya selepas 11 bulan si isteri, Che Wan Yusof, 55, diserang penyakit berkenaan pada Januari 2018, suaminya, Kamarudin Landot, 57, pula diserang penyakit sama.

Ini menyebabkan pasangan terbabit, masing-masing tidak mampu menggerakkan anggota badan sebelah kiri dan kanan.

Ujian itu bertambah berat apabila Che Wan diserang penyakit buah pinggang yang menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu dalam keadaan kekurangan wang untuk membiayai keseluruhan kos rawatan.

Sekali lagi mereka diuji apabila Kamarudin diserang beruk jantan peliharaannya sendiri hingga kaki kirinya parah akibat digigit beruk itu.

Beruk berkenaan sebelum itu digunakan untuk mengambil upah menurunkan kelapa.

Menceritakan keadaan keluarganya, anak kedua mereka daripada lima beradik, Natasha, 27, berkata, sejak ibunya diserang penyakit angin ahmar, dia berhenti kerja di syarikat swasta untuk menguruskan kehidupan Che Wan.

“Tidak lama selepas diserang angin ahmar, ibu terpaksa pula menjalani dialisis.

“Kos dialisis sebanyak RM230 manakala RM150 daripada kos itu dibiayai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kami hanya perlu menambah RM35 tetapi tidak mampu membayar RM30 untuk menambah darah yang sepatutnya perlu dilakukan setiap kali

menjalani rawatan,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka.

Mengenai serangan beruk itu pula, Natasha berkata,

beruk itu tiba-tiba mengigit kaki kiri bapanya ketika membersihkan tempat beruk itu ditambat.

“Saya menjerit meminta tolong sambil sedaya upaya menarik bapa daripada terus digigit beruk yang naik hantu itu.

“Akibatnya, bapa saya terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Melaka,” katanya.

Mereka yang ingin membantu, boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Che Wan (04-00341-000105406).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 5:59 PM